Azeez Adam (tiga dari kanan) menjaringkan gol tunggal kemenangan Kedah FA ke atas KDA FC pada aksi derbi Kedah di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu. Foto KEDAH FA
KEDAH FA terus menunjukkan taring dalam saingan Liga A1 Semi Pro apabila menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) 1-0 dalam aksi derbi negeri yang berlangsung di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu.
Kemenangan itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan skuad bimbingan Victor Andrag, malah melanjutkan rekod tanpa kalah mereka musim ini dengan empat kemenangan dan tiga keputusan seri setakat ini.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain import, Azeez Adam, menerusi tandukan kemas hasil sepakan sudut pada penghujung babak pertama, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh daripada lebih 1,000 penyokong yang hadir.
KDA FC yang turun dengan semangat membara cuba mencipta kejutan awal menerusi rembatan jarak jauh penyerangnya, Syarul Aiman, namun diselamatkan cemerlang oleh penjaga gol Kedah FA, V Rajendran.
Sepanjang perlawanan, Kedah FA dilihat lebih menguasai permainan dengan beberapa percubaan berbahaya daripada Azeez Adam, Aiman Afif dan Abubakar Yakubu, namun gagal diterjemahkan kepada jaringan tambahan.
Babak kedua menyaksikan KDA FC berusaha keras untuk bangkit menyamakan kedudukan, namun ketangkasan Rajendran di gawang terus menafikan peluang mereka.
Beberapa gerakan berbahaya turut dihasilkan oleh pemain tengah Kedah FA, Asnan Ahmad, namun penyudah yang kurang kemas menyebabkan peluang terlepas begitu sahaja.
Kekalahan ini merupakan yang keenam buat KDA FC, yang kini hanya mencatat satu kemenangan sepanjang musim, iaitu ke atas Machan FC pada 8 Ogos lalu.
Ringkasan AI
- KEDAH FA menewaskan Kedah Darul Aman 1-0 dalam derbi negeri
- Kemenangan mengukuhkan kedudukan mereka dengan empat kemenangan dan tiga seri
- Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Azeez Adam
- KDA FC cuba mencipta kejutan namun diselamatkan oleh penjaga gol Kedah FA, V Rajendran
- Kekalahan keenam untuk KDA FC, hanya satu kemenangan sepanjang musim