Haaland meledak tiga gol ketika Norway benam cabaran Israel dalam aksi kelayakan Piala Dunia Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat 2026 di Stadium Ullevaal. FOTO: AGENSI
PENYERANG sensasi Norway, Erling Haaland, terus membuktikan ketajamannya apabila meledak tiga gol bagi membantu pasukannya membenam Israel 5-0 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat 2026 di Stadium Ullevaal yang disaksikan 19,363 penonton.
Kemenangan besar itu bukan sekadar melonjakkan Norway kekal selesa di tangga teratas Kumpulan I, malah menyalakan semula impian mereka untuk menamatkan kemarau penampilan di Piala Dunia sejak kali terakhir layak pada 1998.
Permulaan perlawanan berlangsung penuh dramatik apabila penjaga gol Israel, Daniel Peretz, dua kali menafikan sepakan penalti Haaland dalam tempoh lima minit pertama.
Namun, nasib pasukan pelawat mula berubah apabila hantaran lintang Alexander Sorloth disambar pemain Israel sendiri, Anan Khalaili yang tertampan bola ke gawang sendiri untuk memberikan tuan rumah kelebihan awal minit ke-18.

Haaland meledak tiga gol ketika Norway benam cabaran Israel dalam aksi kelayakan Piala Dunia Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat 2026 di Stadium Ullevaal. FOTO: AGENSI
Gol itu menaikkan semangat Norway yang terus menekan dan hasilnya, penyerang Manchester City itu menebus kekecewaan awal dengan rembatan kaki kanan yang kencang untuk menggandakan kedudukan minit ke-27.
Gol ketiga pula hadir secara tidak disangka minit ke-28 apabila sepakan keluar Peretz terkena rakan sepasukannya Idan Nachmias menyebabkan bola masuk ke gawang sendiri dan memberi kelebihan tiga gol buat skuad kendalian Stale Solbakken.
Separuh masa kedua, Norway terus menguasai permainan menyaksikan Haaland menambah derita Israel dengan tandukan padu bagi gol kedua peribadi minit ke-63.
Penyerang berusia 25 tahun itu kemudian melengkapkan hatrik keenam bersama Norway pada minit ke-72 selepas menyambar hantaran lintang Antonio Nusa.
Ledakan tersebut mengangkat jumlah jaringan antarabangsa Haaland kepada 51 gol dalam 46 penampilan, menjadikannya pemain terpantas dalam sejarah menjaringkan 50 gol antarabangsa memecahkan rekod Harry Kane yang memerlukan 71 perlawanan untuk mencapai angka itu.
Haaland kini hanya empat hatrik di belakang dua ikon dunia, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi yang berkongsi rekod terbanyak hatrik di peringkat antarabangsa.
Kemenangan bergaya itu juga meletakkan Norway semakin hampir untuk kembali ke pentas Piala Dunia selepas 28 tahun menunggu di samping membuka peluang melangkah ke kejohanan utama pertama sejak Euro 2000.
Ringkasan AI
- Erling Haaland mencetak tiga gol dalam kemenangan 5-0 Norway atas Israel dalam kelayakan Piala Dunia
- Norway kini memuncaki Kumpulan I dan menghidupkan semula impian untuk layak ke Piala Dunia setelah kali terakhir pada 1998
- Penjaga gol Israel, Daniel Peretz, menafikan dua sepakan penalti dari Haaland dalam lima minit pertama
- Norway mendapat gol pertama melalui gol bunuh diri pemain Israel pada minit ke-18
- Haaland kini memiliki 51 gol dalam 46 penampilan antarabangsa menjadi pemain terpantas mencapai 50 gol internasional