hafidzul@hmetro.com.my
Bangi: Negara perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI), bagi meningkatkan keberkesanan usaha membanteras rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata rasuah diibaratkan seperti kanser yang akan merebak jika tidak dikawal.
“Ia akan merebak dan merosakkan sistem pentadbiran serta masyarakat. Justeru, negara perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan teknologi baharu.
“SPRM bukan hanya menegakkan undang-undang, tetapi juga mendidik masyarakat agar menolak rasuah sebagai budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2025 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.
Dalam pertandingan itu, Universiti Malaya (UM) dinobatkan johan selepas menewaskan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Azam turut menyatakan kekagumannya terhadap pelajar tempatan yang semakin berani berdebat dengan isi serta gaya penyampaian berkualiti tinggi.
“Berbahas bukan sekadar untuk menang, tetapi untuk melatih diri agar berani menyuarakan kebenaran dalam kehidupan seharian.
“Dalam 42 tahun saya berkhidmat, saya melihat evolusi isu rasuah sejak 1984, dan perjuangan ini masih perlu diteruskan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd