SOJC 2025: Young Tigers ikat Australia

SOJC 2025: Young Tigers ikat Australia

SOJC 2025: Young Tigers ikat Australia


Pemain Young Tigers, Muhammad Danish Aiman Khairul Anwar (dua dari kanan), diasak pemain Australia Dylan Brick (dua dari kiri) dalam aksi SOJC di Stadium Hoki Taman Daya pada Ahad.

IMPIAN skuad hoki remaja negara untuk melakar kemenangan pertama pada Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 tidak kesampaian selepas seri 1-1 dengan Australia pada aksi kedua di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru pada Ahad.

Meskipun mencatat keputusan seri, skuad Young Tigers bimbingan Ketua Jurulatih Nor Saiful Zaini Nasirudin mempamerkan aksi cemerlang berbanding ketika menentang Pakistan semalam, yang berkesudahan Malaysia tewas 2-7 kepada Pakistan.

Pada aksi suku pertama malam ini, kedua-dua pasukan berbalas serangan sebelum skuad remaja kebangsaan berjaya memecah kebuntuan dengan meraih gol pertama pada minit ke-13 hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Azimuddin Shakir Kamaruddin.

Persembahan konsisten yang dipamerkan pada suku pertama itu diteruskan pada suku kedua dan ketiga apabila berjaya menghalang Australia daripada menyamakan kedudukan.

Kelebihan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Ian Grobbelaar muncul penyelamat Australia apabila menyempurnakan peluang pukulan sudut penalti pada minit ke-47 dan keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Sementara itu, Nor Saiful berkata beliau berpuas hati dengan aksi bertenaga yang ditampilkan selain menyifatkan pemain menunjukkan peningkatan ketara berbanding perlawanan pertama semalam.

Beliau berkata strategi pasukan turut diubah selepas menilai kelemahan pada aksi pertama dengan menutup ruang permainan lebih awal bagi menghalang pasukan lawan melakukan hantaran jarak jauh.

“Hari ini saya sangat puas hati kerana mereka bangkit selepas tewas 2-7 semalam. Kami seri satu sama dan hampir menang. Itu satu perkara positif untuk pemain. Walaupun pemain kelihatan sedikit keletihan pada suku keempat, mereka tetap menunjukkan disiplin dan semangat tinggi sepanjang perlawanan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Nor Saiful turut memuji prestasi penjaga gol muda negara yang hanya melepaskan satu gol berbanding lima semalam, serta menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Australia.

Mengulas pertemuan seterusnya menentang New Zealand, Nor Saiful berkata keputusan seri hari ini memberi keyakinan besar kepada skuad negara untuk beraksi dengan lebih baik.

“Dengan keputusan hari ini, saya rasa pemain bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menentang New Zealand. Kami akan teruskan persiapan dan baiki kelemahan terutama memperkemas pertahanan ketika pukulan sudut penalti,” katanya.

Selain pertemuan Malaysia-New Zealand, perlawanan lain pada Selasa ini turut membabitkan Great Britain menentang Australia dan Pakistan berdepan India. – Bernama

Ringkasan AI

  • IMPIAN skuad hoki remaja negara untuk melakar kemenangan pertama pada Kejohanan Pukal Sultan Johor 2025 tidak kesampaian selepas seri 1-1 dengan Australia
  • Skuad Young Tigers mempamerkan aksi cemerlang berbanding dengan kekalahan sebelumnya terhadap Pakistan
  • Gol pertama perlawanan dicetak oleh Azimuddin Shakir Kamaruddin menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-13
  • Ian Grobbelaar dari Australia berjaya menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-47
  • Keputusan seri tersebut memberi keyakinan dan motivasi kepada skuad negara untuk pertandingan seterusnya menentang New Zealand



Source link

OR

Scroll to Top