Duit banyak belum tentu bawa pulang emas Olimpik

Duit banyak belum tentu bawa pulang emas Olimpik

Duit banyak belum tentu bawa pulang emas Olimpik


PENINGKATAN lebih dua kali ganda peruntukan sukan kepada RM580 juta dalam Belanjawan 2026 tidak boleh dijadikan ukuran pasti bahawa impian memburu pingat emas pertama negara di Olimpik bakal tercapai.

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli menegaskan, walaupun suntikan dana besar itu menjadi pemangkin kepada kesinambungan program pembangunan sukan negara, kejayaan sebenar tetap bergantung kepada siapa yang menerima dana berkenaan dan bagaimana ia dibelanjakan untuk tujuan yang tepat.

“Ini bukan soal banyak, tetapi bagaimana peruntukan itu digunakan. Duit banyak bukan jaminan segalanya boleh kita beli dan kita tahu pingat emas Olimpik tidak boleh dibeli walaupun kita ada wang yang banyak,” katanya kepada Sukan Sinar ketika mengulas pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, pada Jumaat.

Menurut Pekan, kejayaan sukan tidak akan datang hanya kerana angka besar yang diumumkan, sebaliknya melalui perancangan rapi, pelaksanaan konsisten serta keutamaan yang jelas terhadap pembangunan bakat.

Katanya, jika peruntukan besar itu lebih banyak digunakan bagi menampung kos pengurusan, program bersifat ‘ad hoc’, acara sekali-sekala atau penyelenggaraan fasiliti rutin setiap tahun, maka pembangunan akar umbi akan terus sekadar menerima tempias.

“Keadaan ini sudah banyak kali berlaku. Dahulu pun kita pernah menerima peruntukan besar RM1.2 bilion pada 2017 dan RM930 juta pada 2016 tetapi hasilnya sama sahaja. Kita masih kempunan emas Olimpik,” ujarnya.

Beliau menambah, belanjawan yang besar tanpa pelan strategik menyeluruh atau pelan induk pembangunan sukan yang jelas hanya akan menjadi belanja hangus, tidak lebih daripada mengulangi kitaran lama yang tidak membawa perubahan ketara kepada hala tuju sukan negara.

Pekan yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, turut menyambut baik usaha kerajaan menyeimbangkan pelaburan antara program elit dan pembangunan akar umbi termasuk menaik taraf padang sekolah serta kemudahan belia, sambil menyifatkannya sebagai langkah yang amat wajar dan sepatutnya dilaksanakan lebih awal.

Beliau berkata, pembinaan trek olahraga di sekolah adalah keputusan tepat kerana masih ramai pelajar di negara ini berlari di padang rumput semasa temasya sukan sekolah, manakala hanya sekolah di bandar yang mampu menyewa stadium untuk menggunakan trek sebenar.

Di luar bandar pula, katanya, banyak sekolah bukan sahaja tiada trek, malah ada yang kehilangan padang kerana dijadikan kawasan pembangunan lain.

“Negara seperti China sudah lama menjadikan kemudahan asas ini sebagai keperluan wajib di setiap sekolah. Walaupun hanya beberapa lorong larian, ia sudah cukup untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar dan menanam minat dalam sukan sejak kecil,” katanya.

Namun beliau mengingatkan supaya projek menaik taraf padang sekolah itu dilaksanakan secara berfasa dan telus, tanpa isu pemberian kontrak yang boleh menjejaskan tujuan asal.

Jelasnya, pengisian program latihan untuk mencungkil bakat juga, katanya, perlu disusun seiring dengan penyediaan fasiliti tersebut supaya tidak dibiarkan terbiar atau rosak tanpa digunakan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Pekan turut mengulas langkah kerajaan memperkenalkan geran padanan RM30 juta serta insentif cukai lebih fleksibel bagi menarik penglibatan sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam ekosistem sukan negara.

Baginya, langkah ini wajar diteruskan sebagai pemangkin tambahan, namun sektor korporat perlu melihat sukan sebagai pelaburan jangka panjang dan bukan sekadar program tanggungjawab sosial semata-mata.

“Geran padanan RM30 juta ini seharusnya menjadi sebahagian kecil suntikan untuk menampung penganjuran program, bukan sumber utama.

“Jika insentif cukai baharu ini berjaya menarik minat sektor swasta untuk menjadi rakan strategik sukan, ia akan membantu mengurangkan kebergantungan persatuan kepada dana kerajaan,” ujarnya.

Pekan juga berpandangan, Belanjawan 2026 akan menjadi ujian penting kepada kerajaan untuk menilai sejauh mana strategi dan peruntukan yang diumumkan mampu memberi kesan menyeluruh kepada pembangunan sukan negara dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang sama ada benar-benar membawa perubahan atau sekadar mengulangi pola yang sama.

“Kejayaan sebenar tidak bergantung kepada besar kecilnya angka dalam belanjawan, tetapi kepada keberanian melaksanakan pembaharuan, kejujuran mengurus dana dan kesungguhan membina sistem pembangunan bakat yang mampan.

“Hanya dengan itu impian untuk melihat Jalur Gemilang dikibarkan megah di podium Olimpik akan menjadi kenyataan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Peningkatan peruntukan sukan kepada RM580 juta dalam Belanjawan 2026 tidak menjamin Malaysia akan meraih emas Olimpik
  • Kejayaan dalam sukan bergantung kepada penggunaan dana yang tepat dan bukan jumlahnya
  • Pembangunan bakat melalui perancangan rapi dan pelaksanaan konsisten lebih penting daripada jumlah dana
  • Usaha menaik taraf fasiliti sukan di sekolah termasuk pembinaan trek olahraga dilihat sebagai langkah positif
  • Penglibatan sektor swasta dengan geran padanan RM30 juta dan insentif cukai untuk mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan



Source link

OR

Scroll to Top