Sistem Pendidikan negara 'cacat', perlu tekankan aspek nilai dan moral – PM

Sistem Pendidikan negara 'cacat', perlu tekankan aspek nilai dan moral – PM

Sistem Pendidikan negara 'cacat', perlu tekankan aspek nilai dan moral – PM


am@hmetro.com.my

Putrajaya: Sistem pendidikan negara perlu memberikan penekanan kepada aspek nilai, moral dan prinsip etika dan bukan hanya pengetahuan semata-mata, susulan beberapa insiden membabitkan buli serta rogol sejak akhir-akhir ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini sistem sedia ada mempunyai kecacatan.

“Macam (isu) buli. Ini baru saya umum hari Jumaat, umum pasal buli memang keputusan dah dibuat, menteri dah sebut…rogol lagi di sekolah.

“Sampai tiap majlis saya di Tambun, satu hari, hari Sabtu jumpa ada dua program di sekolah, itu saya tekankan masalah buli.

“Pendidikan, pendidikan itu knowledge. Not values. Not moral and ethical principles. So ada flaw. Bukan salah guru saja, ibu bapa, sistem,” katanya pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Oktober, di sini, hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2026 Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) membabitkan usaha membangunkan Kerangka Antibuli Sekolah (SAFE), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tambah kamera litar tertutup (CCTV).

Kelmarin, media melaporkan Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, empat pelajar lelaki tingkatan lima yang disyaki terbabit melakukan kesalahan seksual terhadap seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah sekolah di Alor Gajah pada 2 Oktober lalu direman enam hari bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kesemua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berusia 17 tahun itu direman hingga 16 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.

Susulan itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek melalui satu hantaran di Facebook, memberi jaminan bahawa KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku seksual di semua institusi pendidikan di bawah kelolaan kementerian itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top