Didenda RM10,000 akibat ugut sebar gambar bogel

Didenda RM10,000 akibat ugut sebar gambar bogel

Didenda RM10,000 akibat ugut sebar gambar bogel


am@hmetro.com.my

Georgetown: Seorang suri rumah didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemerasan dengan mengugut untuk menyebarkan gambar bogel seorang lelaki, Jun lalu.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Husna Noor Baharuddin, 33, selain memerintahkan tertuduh dipenjara selama 10 bulan jika gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, Nur Husna didakwa melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki berusia 28 tahun dengan mendatangkan ketakutan sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM3,750.

Tertuduh melakukan kesalahan itu pada jam 3.30 pagi di sebuah rumah di Lintang Kampung Rawa 1, di sini, 14 Jun lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Danial Amir Saad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesan terhadap mangsa.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farah Hamizah Hasan Gani, memohon hukuman denda minimum dan memaklumkan anak guamnya mempunyai enam anak termasuk bayi berusia enam bulan dan seorang anak autisme berusia dua tahun.

Mengikut fakta kes, pengadu berkenalan dengan tertuduh melalui Facebook pada 12 Jun lalu, jam 1.47 pagi sebelum wanita itu menawarkan untuk menghantar gambar dan video bogelnya.

Mangsa kemudiannya menerima kandungan lucah itu menerusi WhatsApp tetapi dua hari selepas itu tertuduh mengugut mahu menyebarkan gambar bogel mangsa di media sosial sekiranya tidak diberikan wang RM3,750.

Mangsa yang ketakutan melakukan 10 transaksi pemindahan wang ke akaun tertuduh namun wanita itu masih terus menuntut bayaran tambahan menyebabkan dia akhirnya membuat laporan polis.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top