am@hmetro.com.my
Ipoh: Suami isteri warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menganiayai kanak-kanak berumur tiga tahun yang berada di bawah jagaan mereka hingga menyebabkan kematiannya, bulan lalu.
Buruh, Siswadi, 35, dan isterinya, Nurhayati, 34, memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu serta membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Ainul Shahrin bagaimanapun menetapkan tarikh 17 November depan untuk fakta kes dibacakan dengan kehadiran jurubahasa Indonesia serta penjatuhan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh yang berasal dari Medan, Indonesia.
Mahkamah turut mengarahkan agar pihak pendakwaan menulis surat kepada Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia bagi memaklumkan bahawa dua rakyat warganegara itu dituduh di mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas kanak-kanak lelaki bernama Mhd Hasbih, 3, didapati menganiayai kanak-kanak itu sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah tempat beralamat di No. 2181 Kampung Sadang Blanja Kiri, Parit, dalam daerah Perak Tengah kira-kira jam 10 pagi, 22 September lalu.
Ia kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Vitthiyeswary manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Vitthiyeswary tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan mereka ketika ini juga sedang ditahan atas kesalahan berkaitan Akta Imigresen 1959/63.
© New Straits Times Press (M) Bhd