Suasana malam di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Kangar, Perlis pada Sabtu lalu ternyata berbeza.
Deretan motosikal dan ribuan pengunjung mula membanjiri dataran berkenaan seawal pukul 7 malam.
Sekali imbas, kemeriahan suasananya persis program pemotoran yang semakin kerap dianjurkan di seluruh negara.
Namun kelainan yang ketara ialah majoriti pesertanya terdiri daripada pekerja gig dan riders.
Kira-kira pukul 8.30 malam, persoalan terjawab apabila konvoi lebih seribu motosikal memasuki kawasan dataran.

Paling mencuri tumpuan ialah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim yang membonceng motosikal ditunggang oleh pelumba legenda negara, Wazi Abdul Hamid.
Ketibaan Steven Sim dengan menaiki motosikal itu merupakan simbolik solidariti beliau dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersama pekerja gig yang menghadiri program Meet & Greet ‘Jalan Teruihhh Lindung Kendiri X Santai Anak Utara’.
Vibe program juga jauh berbeza dengan majlis-majlis rasmi dihadiri Menteri yang kebiasaannya sarat dengan protokol.
Pada malam itu tiada ucapan meleret sebagaimana kelaziman malah sebaik sahaja acara bermula, cabutan bertuah yang menawarkan 10 buah motosikal elektrik terus diadakan.
Cabutan bertuah itu diselang seli dengan sesi soal jawab bersama Steven Sim yang berlangsung santai tetapi penuh makna.

Barisan pengurusan tertinggi KESUMA dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut hadir, menzahirkan semangat turun padang di bawah kepemimpinan Steven Sim.
Pendekatan Steven Sim itu ternyata disenangi pekerja gig yang merasakan lebih dekat dengan Menteri dan mereka berharap program sedemikian diadakan lebih kerap.
Seorang penghantar makanan dari Beseri, Hasina Abdul Hamid, 51, memuji cara Steven Sim yang tenang menjawab semua soalan dengan jelas.
“Saya jadi lebih tahu hak saya sebagai pekerja gig seperti Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 dan manfaat PERKESO” katanya.
Suhaimi Harun, 58, pula menyifatkan RUU Pekerja Gig 2025 sebagai penting kerana mengiktiraf dan melindungi pekerja gig yang turut menyumbang kepada ekonomi negara.
“Saya harap program seperti ini diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Steven Sim yang ditemui selepas program berkenaan menjelaskan selain bertemu dengan pekerja gig di Pulau Pinang dan Perlis, beliau sudah bertemu dengan penggiat muzik dan perfileman serta pemandu e-hailing di Kuala Lumpur.
Katanya, pertemuan itu bagi menjelaskan secara terperinci tentang manfaat RUU Pekerja Gig setelah dikuatkuasakan.
“Kita tak tunggu pekerja datang pejabat. Kita pergi cari mereka, tengok sendiri apa cabaran mereka hadapi.
“Jadi, siri jelajah ini bukan setakat ikut negeri, tengok kesesuaian tempat, kesesuaian kumpulan yang hadir itu, tetapi kalau boleh saya nak bawa (siri jelajah itu) ke seluruh Malaysia, kita akan cuba pergi ke seluruh negara,” katanya.
Pada Ogos lalu, Parlimen meluluskan RUU Pekerja Gig 2025 yang kini dalam proses mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebelum diwartakan.

RUU itu bertujuan memelihara hak dan memperkukuh kebajikan pekerja dalam sektor gig di negara ini.
Mengulas lanjut, Steven Sim berkata pada program di Kangar, beliau menerima banyak soalan berkaitan hak dan manfaat pekerja gig di bawah PERKESO selain penerangan mengenai RUU terbabit.
“Kita juga nak dengar pendapat mereka tentang RUU berkenaan, ini undang-undang baharu dan kali pertama kita buat, kalau kita nak buat persediaan juga mungkin (perlu ada) penambahbaikan pada masa akan datang,” katanya.
Tahniah KESUMA kerana mendekatkan dasar dengan rakyat, bukan sekadar di atas kertas, tapi turun padang dan mendengar suara sebenar pekerja.
Santai tapi sampai!