Pelakon, Nadzmi Adhwa tampil bersuara mengenai isu disiplin pelajar yang kembali hangat diperkatakan susulan kes rogol membabitkan empat pelajar Tingkatan Lima terhadap seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Melaka, minggu lalu.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Nadzmi berkongsi pandangan tegasnya bahawa pendekatan tegas termasuk penggunaan rotan suatu ketika dahulu sebenarnya berjaya membentuk generasi yang lebih berdisiplin dan menghormati orang tua serta guru.
“Mak ayah saya cikgu yang dah pencen. Zaman kita dulu kalau cikgu marah, mak ayah akan tambah kat rumah, bukan ‘backup’ anak.
“Kalau salah tu tetap salah! Siapa je tak pernah kena rotan, tarik rambut tepi telinga atau cubit? Itu yang buat kita jadi manusia berguna di masa depan. Kembalikan rotan!,” katanya.
Pandangan pelakon Demi itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata bersetuju dengan kenyataan tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, ramai berpendapat rotan bukan bertujuan untuk mencederakan, sebaliknya menjadi alat mendidik agar pelajar tidak mengulangi kesilapan.
Malah, ada juga yang berkongsi pengalaman zaman persekolahan dahulu ketika ibu bapa memberi keizinan penuh kepada guru untuk merotan anak-anak sebagai pengajaran.
Isu penggunaan rotan kembali menjadi topik hangat selepas kes jenayah pelajar di sekolah semakin membimbangkan, sekali gus menimbulkan persoalan sejauh mana keberkesanan sistem disiplin semasa dalam membendung salah laku remaja.