TITIK permulaan penting buat pelumba muda negara melangkah ke pentas lebih tinggi mula terserlah apabila edisi ke-10 RHB LEKAS Highway Ride 2025 mencatat sejarah tersendiri dengan penyertaan luar biasa 6,017 pelumba dari 23 negara, sekali gus mengukuhkan statusnya antara acara kayuhan malam terbesar dunia.
Acara berprestij itu, anjuran bersama Kumpulan Perbankan RHB (RHB) dan Lebuhraya Kajang Seremban Sdn Bhd (LEKAS), anak syarikat IJM Corporation Berhad, dilepaskan secara rasmi Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Sazali Harun, di Plaza Tol Kajang Selatan.
Menurut Pengarah Perlumbaan RHB LEKAS Highway Ride 2025, Albert KC, penganjuran kali ini bukan sekadar acara kayuhan santai atau rekreasi, sebaliknya medan penting mencungkil potensi pelumba muda tempatan untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi.
“Kami mahu RHB LEKAS Highway Ride bukan sekadar acara berbasikal, tetapi medan pembangunan bakat remaja yang berpotensi mewakili negara. Ini peluang buat mereka merasai pengalaman perlumbaan sebenar di atas lebuh raya bertaraf antarabangsa,” katanya.
Albert berkata, acara yang diiktiraf oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) itu kini turut diangkat sebagai acara berbasikal lebuh raya sepenuhnya terbesar di dunia yang berlangsung pada waktu malam, menjadikannya unik bukan sahaja di Asia, malah di pentas global.
Beliau turut mendedahkan perancangan untuk mengembalikan kategori elit yang pernah diperkenalkan pada penganjuran terdahulu namun kurang mendapat sambutan ketika itu.
“Dengan populariti dan pengiktirafan antarabangsa yang semakin meningkat, kami percaya edisi 2026, bersempena Tahun Melawat Malaysia, merupakan masa paling sesuai untuk memperkenalkan semula kategori elit tersebut,” jelasnya.
Albert berkata, cadangan itu akan dibentangkan kepada PKBM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memperhalusi pelan menjadikan acara ini sebagai platform pelumba elit tempatan dan antarabangsa bersaing di pentas sama.
Pihak penganjur juga bercadang menawarkan ganjaran kemenangan lebih menarik bagi menarik minat pelumba profesional dari negara kuasa besar berbasikal seperti Australia, Jepun, United Kingdom dan Belanda.
“Kami mahu menjadikan RHB LEKAS Highway Ride bukan sekadar acara tempatan, tetapi satu simbol pelancongan sukan antarabangsa yang mampu meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai destinasi kayuhan utama rantau ini,” katanya.
Ringkasan AI
- Edisi ke-10 RHB LEKAS Highway Ride 2025 mencatat sejarah dengan penyertaan 6,017 pelumba dari 23 negara
- Acara ini dianggap sebagai langkah awal penting bagi pelumba muda negara untuk melangkah ke pentas lebih tinggi
- Diiktiraf sebagai acara kayuhan malam terbesar di dunia oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia
- Pengorganisasian acara bertujuan untuk membina bakat remaja dan memberi pengalaman bertaraf antarabangsa
- Penganjur bercadang memperkenalkan semula kategori elit dan menawarkan ganjaran menarik untuk menarik pelumba profesional global