am@hmetro.com.my
Alor Setar: Lelaki etnik Rohingya yang disyaki membunuh isteri dan dua anaknya pada 18 Ogos lalu dibawa ke mahkamah, di sini, hari ini untuk pendakwaan.
Suspek yang tiba di lokap mahkamah pada 9.30 pagi tadi bakal berdepan pertuduhan kes bunuh dan dadah.
Lelaki berkenaan yang berpakaian kemeja T dan seluar hitam itu kelihatan sugul ketika dibawa polis pengiring dengan bergari.
Media sebelum ini melaporkan lelaki etnik Rohingya disyaki membunuh isteri dan dua anaknya dengan mengelar leher sebelum mayat ditemui di dua lokasi berasingan di daerah ini.
Mayat isterinya berusia 34 tahun dan anak perempuannya yang berusia 10 tahun ditemui dalam longkang di belakang bangunan terbiar berhampiran Pekan Simpang Kuala, di sini, kira-kira 5 petang pada 19 Ogos lalu.
Manakala, mayat anak lelaki berusia dua tahun ditemui di kawasan Pantai Leman, Kuala Kedah pada 12 tengah hari 20 Ogos lalu.
Polis berjaya menahan suspek di Masjid Al Hidayah, Bukit Pinang, di sini, kira-kira 9 malam pada hari sama penemuan mayat isteri dan anak sulungnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd