KLCCC tunjang DBKL cegah banjir kilat di ibu kota

KLCCC tunjang DBKL cegah banjir kilat di ibu kota


suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pusat Kawalan Pintar Bandaraya Kuala Lumpur (KLCCC) menjadi tunjang kesiapsiagaan baharu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghadapi musim monsun dengan kemampuan memantau taburan hujan, paras sungai dan sistem saliran secara masa nyata bagi mencegah banjir kilat di ibu kota.

DBKL dalam kenyataan berkata, pihaknya tampil dengan strategi menyeluruh menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan fenomena La Nina melalui integrasi sistem pam automatik, pusat kawalan digital serta jaringan data pintar bandar raya.

“Pendekatan ini turut menekankan penyelenggaraan berdisiplin, kerjasama pelbagai agensi dan keseimbangan antara pembangunan dengan kelestarian alam sekitar.

“Di bawah Jawatankuasa Pengurusan Insiden Awam Kuala Lumpur (JPIAKL), seramai 350 anggota pelbagai jabatan digerakkan 24 jam bagi memastikan kesiapsiagaan maksimum setiap masa.

“Operasi dipantau dari Bilik Gerakan Insiden Awam di Menara DBKL 1 yang disambungkan terus ke KLCCC pusat kawalan pintar bandar raya yang beroperasi menggunakan data masa nyata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, KLCCC menyelaras maklumat bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPSKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pertahanan Awam (APM), Alam Flora dan SWCorp bagi membolehkan tindakan segera di lapangan.

“Melalui sistem Automated Message System (AMS), amaran hujan dan peningkatan paras air dihantar terus ke pasukan lapangan secara automatik tanpa menunggu arahan manual.

“Teras utama kesiapsiagaan DBKL ialah 36 Rumah Pam Kawalan Banjir, dengan tiga lagi bakal siap menjelang 2026, dilengkapi 135 pam berkuasa tinggi serta 300 sensor paras air automatik,” katanya.

DBKL berkata, setiap rumah pam dilengkapi penjana diesel kecemasan yang boleh beroperasi sehingga 10 jam sekiranya bekalan elektrik terganggu.

“Sistem pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) turut disambungkan ke KLCCC bagi membolehkan pegawai melihat status operasi secara langsung,” katanya.

DBKL turut melaksanakan penyelenggaraan berjadual ketat melalui kontraktor berlesen dan pasukan teknikal dalaman di tiga zon utama.

“Aspek ekologi turut diberi perhatian melalui Unit Pengurusan Pokok Rendang (UPPR) yang menjalankan lebih 13,000 kerja penyelenggaraan pokok setiap tahun di seluruh 11 kawasan Parlimen.

“Semua data kerja lapangan direkodkan ke dalam sistem Geographic Information System (GIS) untuk mengenal pasti risiko pokok tumbang dan kawasan mendap lebih awal,” katanya.

Katanya, DBKL turut memperkukuh konsep ‘Sponge City’ dengan mewajibkan pembangunan baharu dilengkapi sistem Onsite Stormwater Detention (OSD) dan Bio-Ecological Drainage System (BIOECOD).

Dalam pada itu, DBKL memaklumkan, inisiatif ini digerakkan di bawah Pelan Mitigasi Banjir Kuala Lumpur 2024-2031 yang turut memanfaatkan teknologi Internet of Things (IoT) bagi pemantauan tekanan pam, tahap kelodak dan aliran air secara automatik menuju visi Carbon-Free KL 2050, menjadikan ibu kota bebas banjir dan lebih lestari.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top