Disiplin bawa SMK Meru ke final Piala Datuk Mokhtar Dahari

Disiplin bawa SMK Meru ke final Piala Datuk Mokhtar Dahari


Barisan pemain, jurulatih dan pengurusan SMK Meru yang bersaing dalam kempen Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15.

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Meru terus membuktikan statusnya sebagai jaguh Klang yang sukar digugat apabila melangkah ke perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun (B-15) 2025 selepas menundukkan SMK Seksyen 9 Shah Alam, 2-0, pada aksi separuh akhir di Padang A Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 28, Rabu.

Kemenangan itu hadir hasil disiplin mantap dan permainan berpasukan yang tersusun tepat seperti yang diimpikan pengendali Meru, Mat Hassan Mat Rofi.

Beliau mengakui amat terharu dengan semangat juang luar biasa dipamerkan anak didiknya yang tidak pernah mengalah walaupun berdepan tekanan daripada gergasi Shah Alam tersebut.

“Alhamdulillah, syukur SMK Meru sekali lagi berjaya ke pentas akhir. Saya amat memuji disiplin dan semangat juang semua pemain yang kekal fokus hingga wisel penamat,” katanya

Tambahnya, kejayaan itu bukan sekadar hasil bakat individu, tetapi buah tangan kerja sepasukan yang berdisiplin tinggi dalam melaksanakan setiap perancangan taktikal.

“Jentera tengah kita berfungsi sangat baik apabila berjaya menyekat banyak gerakan lawan dan mematahkan setiap percubaan mereka,” ujar Mat Hassan yang berpuas hati dengan organisasi pasukannya di setiap posisi.

Pengendali berpengalaman itu turut menzahirkan penghargaan kepada barisan kejurulatihan yang sentiasa menjadi tulang belakang pasukan muda berkenaan.

“Saya juga amat berterima kasih kepada Cikgu Sabri, Faniezat, Nazreen dan Syukri.

“Mereka bukan sahaja banyak membantu dari segi taktikal, malah turut menyuntik semangat dan keyakinan kepada pemain sepanjang kejohanan ini,” jelasnya.

Kejayaan itu menyaksikan SMK Meru akan berentap dengan SMK Putra Perdana, Puchong, yang menewaskan SMK Taman Melawati, Ampang, 2-1 di Padang B MBSA Seksyen 28, bagi menentukan juara edisi kali ini yang dijadualkan berlangsung Sabtu.

“Kami tahu cabaran di final nanti pasti lebih sengit. Namun dengan semangat dan disiplin yang ditunjukkan pemain, saya percaya Meru mampu terus mengaum sebagai pasukan terbaik negara,” tegas Mat Hassan.

 

 

Ringkasan AI

  • Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru melangkah ke perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun (B-15) 2025 dengan mengalahkan SMK Seksyen 9 Shah Alam 2-0
  • Kemenangan tersebut adalah hasil dari disiplin mantap dan permainan berpasukan yang tersusun
  • Pengendali Meru, Mat Hassan Mat Rofi, memuji disiplin dan semangat juang pemainnya yang kekal fokus hingga akhir perlawanan
  • Penekanan pada permainan sebagai satu pasukan dan keberkesanan jentera tengah dalam merencat serangan lawan disebut sebagai kunci kejayaan
  • SMK Meru akan berhadapan dengan SMK Putra Perdana, Puchong di final untuk menentukan juara edisi kali ini



Source link

OR

Scroll to Top