Morales (kiri) muncul watak utama dalam kemenangan ke atas Laos di SNBJ pada Selasa malam.
PENYERANG naturalisasi Harimau Malaya, Romel Morales menyifatkan kemenangan bergaya 5-1 ke atas Laos dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai suntikan semangat besar buat skuad negara untuk terus mengekalkan rentak positif dalam kempen kelayakan.
Menurut Morales, kemenangan itu bukan sahaja memperkukuh keyakinan pasukan tetapi turut menjadi bukti kepada kerja keras dan semangat juang tinggi yang dipamerkan semua pemain di atas padang.
“Hasilnya jelas kami menang besar dan yang paling penting, kami berjaya meraih tiga mata penuh.
“Ia sesuatu yang sangat positif untuk pasukan dan juga penyokong,” katanya selepas perlawanan.
Morales yang diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan menjadi wira Harimau Malaya selepas meledak dua gol penting untuk memastikan skuad kendalian Peter Cklamovski bangkit menewaskan Laos dengan penuh bergaya.
Tambah penyerang kelahiran Colombia itu, dua jaringan peribadi yang dihasilkan kali ini amat bermakna buat dirinya selepas kali terakhir menemui sentuhan gol bersama skuad kebangsaan ketika aksi menentang Korea Selatan di Piala Asia 2023 di Qatar.
“Ia amat bermakna kerana meningkatkan lagi keyakinan saya di hadapan gol.
“Apa pun, semua pemain memberikan komitmen terbaik dan saya tahu saya juga perlu menggandakan usaha untuk membantu pasukan,” ujarnya.
Kemenangan ke atas Laos menyaksikan Harimau Malaya mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan untuk mendahului saingan kumpulan dengan mengumpul 12 mata, diikuti Vietnam di tempat kedua (sembilan mata), Laos ketiga (tiga mata) dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.
Selepas ini, Malaysia di jadual bertemu Nepal pada 18 November dan akan menamatkan saingan kumpulan menentang Vietnam di Hanoi pada Mac tahun depan.
Ringkasan AI
- Romel Morales menyifatkan kemenangan 5-1 ke atas Laos sebagai suntikan semangat untuk skuad Harimau Malaya
- Kemenangan tersebut memperkuat keyakinan dan menjadi bukti kerja keras serta semangat juang semua pemain
- Morales, diumumkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan, meledak dua gol penting dalam kemenangan itu
- Kemenangan itu amat bermakna bagi Morales, meningkatkan keyakinannya di hadapan gol
- Malaysia mengumpul 12 mata dari empat perlawanan tanpa kalah, mendahului saingan kumpulan