Pelakon popular, Uqasha Senrose tampil menjelaskan kekeliruan yang timbul susulan kenyataannya mengenai luahan perasaan sebagai seorang ibu baru-baru ini.
Menurut Uqasha atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, segelintir pihak tersalah tafsir apabila mendakwa dia keletihan atau ‘burn out’ dalam menjaga anak.
Jelasnya, apa yang dirasai sebenarnya adalah rindu dan berat hati setiap kali terpaksa meninggalkan anak kerana komitmen kerja.
“Saya meluahkan rasa rindu pada anak, bukan sebab penat jaga dia. Ya Allah, kenapa orang cakap saya burn out jaga anak?” katanya menerusi ruangan komen di Instagram.
Tambah aktres Tercipta Satu Ikatan itu, dia tidak pernah berasa terbeban membesarkan anak perempuannya, Hawra Uqaira, malah menganggap masa bersama si kecil sebagai detik paling berharga.
“Saya burn out sebab kena tinggalkan anak untuk kerja. Setiap kali dia menangis bila saya keluar rumah, hati saya rasa hancur,” luahnya.
Uqasha turut menegaskan, walau sesibuk mana pun jadualnya, dia akan mengutamakan masa bersama anak apabila mempunyai cuti.
“Saya siap sebut, kalau ada satu hari cuti pun saya akan ketepikan perkara lain semata-mata nak luangkan masa dengan anak. Tak pernah keluar dari mulut saya yang saya penat atau burn out jaga anak,” jelasnya lagi.
Terdahulu, rumah tangga Uqasha dan suaminya, pelakon Kamal Adli, menjadi bualan warganet selepas didakwa tidak lagi saling mengikuti di Instagram.
Keadaan itu semakin mengundang spekulasi apabila Uqasha turut memuat naik hantaran berbentuk luahan hati yang dikatakan menggambarkan kekecewaan terhadap seseorang.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.
Artikel Berkaitan: “She Stays Loyal, Even When She Was Hurting”- Muat Naik Petikan Tentang Kesetiaan, Luahan Hati Uqasha Senrose Cetus Tanda Tanya