Penembak negara sedia ‘ledak’ kejutan di Thailand

Penembak negara sedia ‘ledak’ kejutan di Thailand


KUALA LUMPUR: Skuad menembak negara enggan tunduk pada reputasi besar atlet bertaraf Olimpik, sebaliknya berazam untuk meledak kejutan di pentas Sukan SEA Thailand 2025.

Pengurus pasukan, Mejar Jasni Shaari menegaskan bahawa pasukan negara kali ini hadir dengan keyakinan baharu hasil program persediaan yang lebih tersusun dan fokus terhadap aspek ketenangan mental.

“Kita tahu pasukan lain ada Olimpian mereka, tetapi mereka pun tahu kemampuan kita. Kadang-kadang mereka pun gentar sebab prestasi penembak kita semakin konsisten,” kata Jasni ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Menurut Jasni, kekuatan sebenar skuad kali ini bukan sekadar pada senjata dan teknik, tetapi pada disiplin mental yang menjadi kunci kepada ketepatan setiap tembakan.

“Saya selalu ingatkan atlet, jangan pandang siapa lawan di depan, pandang sasaran di depan mata. Menembak bukan tentang nama besar, tapi siapa paling tenang di saat genting,” katanya.

Skuad menembak negara kali ini mempertaruhkan 29 atlet dalam tiga disiplin utama raifal, pistol dan shotgun sekali gus merangkumi lebih 15 acara individu serta berpasukan.

Antara nama yang menjadi sandaran utama ialah Nur Suryani Taibi, Jonathan Wong dan Alia Sazana, selain kemunculan beberapa bakat muda yang menunjukkan peningkatan mendadak sejak setahun kebelakangan ini.

Jasni menegaskan, misi kali ini bukan sekadar memburu pingat, tetapi membina momentum menjelang kelayakan ke Kejohanan Dunia dan Sukan Asia akan datang.

“Kalau kita mampu kawal emosi, fokus pada satu peluru satu peluang, saya yakin kita boleh kalahkan sesiapa,” ujarnya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top