Laporan Sukan Sinar pada Rabu. Gambar kecil: Mohd Yusoff
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan keutamaan badan induk itu ketika ini tertumpu kepada proses rayuan yang sedang berjalan di Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu penggunaan pemain warisan skuad Harimau Malaya.
Menurut Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, sebarang keputusan yang bakal diumumkan FIFA akan memberi kesan langsung terhadap keputusan dua perlawanan Malaysia menentang Vietnam dan Nepal dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027.
“Ya, Vietnam pun buat aduan perkara sama. Jadi keputusan itu nanti tidak akan terpakai untuk Vietnam sahaja tetapi juga untuk aksi menentang Nepal.
“Kalau kita menang rayuan, dua pemain yang beraksi menentang Nepal dan lima ketika menentang Vietnam juga akan dikira sah,” katanya kepada Sukan Sinar.
Nepal sebelum ini dilaporkan telah menghantar laporan kepada FIFA berhubung isu penggunaan pemain warisan Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Asia Arab Saudi 2027.
Yusoff berkata, FAM kini menunggu keputusan rasmi daripada FIFA dan mengharapkan keadilan buat pemain dan pasukan negara.
“Soal aduan Nepal itu biarlah dahulu, yang penting bagi kita ialah mendapatkan keputusan yang baik. Saya fikir apa pun aduan daripada Nepal itu, ia lebih kurang juga sama berkaitan isu tujuh pemain. Paling penting, kita tunggu keputusan rayuan. Menang atau kalah kesannya tetap sama,” katanya.
Ringkasan AI
- PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) fokus pada proses rayuan di FIFA berhubung isu penggunaan pemain warisan
- Keputusan FIFA akan pengaruhi perlawanan Malaysia menentang Vietnam dan Nepal dalam Kelayakan Piala Asia 2027
- Vietnam dan Nepal telah membuat aduan kepada FIFA tentang isu pemain warisan Harimau Malaya
- Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berharap keputusan rayuan akan menguntungkan Malaysia
- FAM menunggu keputusan rasmi daripada FIFA dan mengharapkan keadilan untuk pemain dan pasukan negara