am@hmetro.com.my
Tanjung Malim: Rakan karib Allahyarham Mustaqqeem Mansoor, 34, yang maut ketika mendaki di puncak Gunung Liang semalam, berkongsi butiran terperinci mengenai usaha awal yang dilakukannya bersama rakan-rakan lain untuk mencari mangsa.
Muhammad Hafidz Mohd Kamal, 36, yang juga rakan sekerja Allahyarham, berkata insiden bermula jam 2 pagi Isnin.
Katanya, ketika itu, mereka baru sahaja melepasi titik pemeriksaan Kem Iguana dalam perjalanan untuk menawan puncak Gunung Liang.
Menurutnya, dia juga sempat membantu Mustaqqeem membawa barangan yang tidak penting, termasuk pakaian basah, untuk mengurangkan bebanan.
Ini kerana, katanya, Allahyarham mengadu sakit kaki ketika kumpulan pendakian mereka yang terpecah kepada dua, bertemu di Kem Batu Tenggek.
“Saya meneruskan pendakian ke puncak dan berhasrat menunggu Mustaqqeem di sana, tetapi selepas lama menunggu, Allahyarham tidak muncul.
“Kami dapati Allahyarham berada di belakang bersama malim gunung yang berperanan sebagai ‘sweeper’ (anggota belakang),” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Slim River, di sini hari ini.
Muhammad Hafidz berkata, ketika di puncak dia berkumpul semula dengan kumpulan pendakian di bahagian tengah dan berhasrat tidur di puncak.
Namun, katanya, ketika itu cuaca tidak elok seperti hendak ribut, menyebabkan mereka membuat keputusan turun ke Kem 7E dan menunggu sehingga tiga jam.
“Ketika di Kem 7E, saya dan seorang rakan dikenali sebagai Romandi menghubungi ‘sweeper’ yang bersama Mustaqqeem menggunakan ‘walkie talkie’, tetapi isyarat panggilan tidak masuk.
“Memang kami agak risau, selepas itu kami turun ke Kem Lubuk Hantu dan di situ juga kami tunggu dalam tiga jam,” katanya.
Menurutnya, kumpulan pendaki yang lain, kecuali Mustaqqeem, tiba di garis penamat di kaki gunung jam 6.30 pagi Rabu.
Katanya, selepas menunggu sehingga jam 8 pagi tetapi kelibat Mustaqqeem tidak kelihatan menyebabkan dia dan seorang rakan lain, Rafiq, mengambil inisiatif mencari Allahyarham sendiri.
“Pada 9 pagi Rabu, kami membeli bekalan makanan dan mendaki semula tanpa bantuan ‘guide’, saya masuk semula ke pintu masuk trek jam 12.45 tengah Rabu dan terserempak dengan ‘sweeper’.
“Namun, ‘sweeper’ hanya memaklumkan Mustaqqeem sedang cuba menuruni gunung dan berada dalam keadaan ‘okey’,” katanya.
Muhammad Hafidz berkata, dia dan Rafiq meneruskan pendakian mencari Mustaqqeem, yang disangka berada di Kem 7E atau kawasan berair di Kem Lubuk Hantu.
Katanya, Rafiq mencari di Lubuk Hantu manakala Muhammad Hafidz meneruskan ke Kem 7E.
“Namun, saya terpaksa berpatah balik sekitar 6 petang kerana ribut kuat.
Sementara itu, Rafiq menyangkal dakwaan mengatakan Allahyarham Mustaqqeem ditinggalkan rakan hingga menyebabkan kematian.
“Dalam aktiviti pendakian tidak ada istilah tinggal atau tak tinggal. Umpamanya kalau kita pergi ke depan ada orang maka ada orang tunggu dia dalam had tempoh masa tertentu,
“Justeru kami sangkal dakwaan mengatakan Mustaqqeem ditinggalkan secara membuta tuli, sedangkan kami pun melakukan inisiatif sendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd