PADA tahun keenam Hijrah, Rasulullah SAW bersama 1,400 sahabat berangkat menuju Makkah dengan niat yang tulus, bukan untuk berperang tetapi semata-mata menunaikan umrah.
Mereka mengenakan pakaian ihram, membawa binatang korban sebanyak kira-kira 70 ekor unta dan tidak bersenjata. Ini merupakan isyarat jelas bahawa mereka datang dengan niat damai.
Namun demikian, kaum Quraisy berkeras menghalang kemasukan mereka ke Makkah.
Bagi menyekat rombongan tersebut, satu pasukan berkuda seramai 200 orang diketuai oleh Khalid al-Walid digerakkan.
Ketegangan memuncak hingga turunnya wahyu yang mengajar umat Islam kaifiat ‘solat al-khauf’ iaitu solat dalam keadaan berjaga-jaga kerana ancaman peperangan.
Bagaimanapun, usaha sekatan ini berakhir tanpa sebarang pertempuran. Namun, Rasulullah SAW tidak berjaya memasuki Makkah pada tahun itu.
Lalu satu rundingan damai diadakan di kawasan Hudaibiyyah yang merupakan satu peristiwa penting melahirkan Perjanjian Hudaibiyyah, satu titik perubahan besar dalam sejarah dakwah Islam.
Isi perjanjian itu pada zahirnya tampak berat sebelah dan seolah-olah merugikan umat Islam. Antara syaratnya:
1 – Umat Islam pulang tanpa tunai umrah.
2 – Penduduk Makkah yang memeluk Islam dan melarikan diri ke Madinah mesti dikembalikan kepada pihak Quraisy.
MISI flotilla merupakan sambungan perjuangan dalam konteks zaman moden. Foto Canva
3 – Umat Islam yang berpaling tadah dan kembali kepada pihak Quraisy tidak akan dipulangkan.
4 – Tempoh gencatan senjata ditetapkan selama sepuluh tahun.
5 – Kabilah Arab lain bebas memilih untuk berpihak sama ada kepada pihak Quraisy atau Rasulullah.
Ramai sahabat berasa kecewa, termasuk Sayidina Umar Al-Khattab RA yang meluahkan kegusaran terhadap maruah umat Islam.
Rasulullah kekal tenang, Baginda bukan bertindak atas dorongan emosi, tetapi berpandukan wahyu Ilahi.
ALLAH merakamkan peristiwa ini: “Sesungguhnya Kami telah membuka bagi kamu satu kemenangan yang nyata.” (Surah al-Fath: 1)
Perjanjian yang kelihatan seperti kekalahan ini, rupa-rupanya merupakan strategi kemenangan jangka panjang.
Hanya dua tahun kemudian, apabila Quraisy melanggar perjanjian tersebut, ia membuka jalan kepada Fathu Makkah (Pembukaan Kota Makkah), kemenangan agung yang berlaku tanpa pertumpahan darah.
Garis selari sejarah: Misi flotilla ke Gaza
Pada zaman moden ini, kita menyaksikan satu lagi peristiwa yang menggamit ibrah serupa iaitu misi kemanusiaan flotilla yang belayar menuju Gaza membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan harapan buat rakyat Palestin.
Misi yang membawa tema “Break the Siege and Break the Silence” ini bertujuan menembusi sekatan tidak berperikemanusiaan yang telah lama menafikan rakyat Gaza daripada akses keperluan asas seperti makanan, air bersih dan rawatan kesihatan.
Namun, seperti yang berlaku di Hudaibiyyah, misi ini juga disekat dan tidak berjaya sampai ke destinasi.
Zahirnya ia tampak seperti kegagalan. Namun, kesannya amat mendalam:
1 – Dunia mula membuka mata terhadap kekejaman Israel.
2 – Media antarabangsa menyorot penderitaan Gaza.
3 – Simpati global terhadap Palestin semakin memuncak.
Flotilla menjadi simbol keberanian, kesabaran dan solidariti umat sejagat, sekali gus mengingatkan kita kepada pengajaran agung daripada Perjanjian Hudaibiyyah.
Daripada kekalahan zahir kepada kemenangan hakiki
Dalam Hudaibiyyah, Islam tampak seperti mengalah. Namun perjanjian itu membuka laluan kepada pembukaan Makkah dan penyebaran Islam yang pesat selepasnya.
Begitu juga dengan misi flotilla, meskipun tidak berjaya sampaikan bantuan fizikal, ia berjaya menyampaikan mesej perjuangan dan kemanusiaan ke seluruh dunia.

MESKIPUN tidak berjaya menyampaikan bantuan fizikal, misi flotilla berjaya menyampaikan mesej perjuangan dan kemanusiaan ke seluruh dunia. Foto Canva
Dalam Islam, kejayaan sebenar tidak diukur pada hasil, tetapi pada keikhlasan niat dan usaha.
Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya ALLAH tidak melihat kepada rupa paras dan harta kamu, tetapi ALLAH melihat kepada hati dan amalan kamu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Oleh itu, walaupun flotilla tidak mencapai matlamat zahirnya, niat dan usaha mereka telah dicatat sebagai amalan mulia, suatu bentuk jihad fi sabilillah di sisi ALLAH SWT.
Rasulullah SAW sendiri tidak sampai ke Kaabah pada tahun Perjanjian Hudaibiyyah, namun akhirnya Islam masuk ke Makkah dengan penuh kemuliaan.
Flotilla juga mungkin tidak sampai ke Gaza, tetapi simboliknya membuka hati jutaan manusia untuk berpihak kepada keadilan dan kemanusiaan.
ALLAH SWT berfirman: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. ALLAH mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 216)
Kita diperintahkan untuk berusaha dengan penuh kesungguhan, sementara hasilnya diserahkan kepada ketentuan ALLAH SWT.
Manusia tidak mengetahui apa yang bakal berlaku di masa hadapan. Maka tugas kita adalah berusaha, bersabar dan bersyukur, serta melihat hikmah disebalik setiap ujian.
Kesimpulannya, Hudaibiyyah mengajar kita bahawa kekuatan bukan hanya pada senjata atau kemenangan segera, tetapi pada kebijaksanaan strategi dan kesabaran.
Dalam dunia moden, misi flotilla menjadi manifestasi semangat itu bahawa umat ini tidak pernah berputus asa, walau jalan kemenangan itu lambat atau berliku.
Ringkasan AI
- Rasulullah SAW berangkat ke Makkah untuk umrah dengan 1,400 sahabat tanpa niat berperang namun dihalang oleh kaum Quraisy Perjanjian Hudaibiyyah diadakan sebagai hasil rundingan damai selepas penghalangan tersebut, menyebabkan umat Islam tidak jaya menunaikan umrah tahun itu Perjanjian Hudaibiyyah tampak merugikan pada zahirnya tetapi membuka jalan bagi Pembukaan Kota Makkah dua tahun kemudian Misi flotilla ke Gaza mencerminkan pengajaran dari Perjanjian Hudaibiyyah dengan membuka mata dunia terhadap isu Palestin walaupun tidak berjaya sampai ke destinasi Kegagalan zahir dalam Perjanjian Hudaibiyyah dan misi flotilla menyumbang kepada kemenangan strategik jangka panjang dan penyebaran pesan kemanusiaan