Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta mengadakan pertemuan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan langkah penguatkuasaan terhadap penyebaran maklumat palsu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, ini kerana aduan mengenai gambar dan poster palsu calon telah mula diterima walaupun pilihan raya itu hanya akan bermula secara rasmi November ini.
“Sekarang pun ada aduan mengenai gambar, poster palsu calon-calon yang telah mula tersebar dan kita tahu SPR hanya boleh ambil tindakan dalam tempoh pilihan raya tetapi maklumat yang salah sekiranya berlegar terlalu lama itu akan mendatangkan pelbagai masalah dan kita risau sebaran maklumat palsu, berita palsu itu boleh menukar sikap (pengundi).
“Jadi tindakan tegas perlu diambil. Kita akan pastikan pihak SPR dan PDRM terutamanya, bukan untuk mana-mana parti, ada laluan khas (special lane) untuk tindakan pantas diambil terutama oleh platform-platform media sosial yang paling kerap digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kecemerlangan SPM Anak Pantai 2025 di Mahsa Avenue International College hari ini.
Fahmi berkata, satu pertemuan bersama syarikat media sosial juga akan diadakan minggu hadapan bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil terhadap kandungan palsu terutamanya yang melibatkan keselamatan dan integriti pilihan raya.
Beliau turut menegaskan langkah itu bukan untuk kepentingan mana-mana parti politik, sebaliknya demi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar dan adil kepada semua pihak.
Mengenai program hari ini, Fahmi berkata 115 pelajar dari sembilan sekolah terlibat dalam inisiatif hasil kerjasama Parlimen Lembah Pantai, Arus Anak Muda, Sidang Belia Wilayah Persekutuan, Anak Pantai, MAHSA Universiti dan Find My Uni itu.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, program berkenaan dirangka bagi memberikan bimbingan, motivasi dan inspirasi kepada anak-anak Lembah Pantai khususnya calon SPM tahun ini.
“Tujuannya agar mereka lebih bersedia bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga dari segi semangat, jati diri dan sahsiah peribadi demi melahirkan generasi murid yang cemerlang, berdisiplin dan berdaya saing,” katanya.
Fahmi berkata, pihaknya turut merancang mengadakan program pendedahan industri dan peluang latihan amali kepada pelajar berkenaan selepas tamat SPM.
Beliau berkata, langkah itu penting untuk memberikan peluang kepada pelajar dari kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan komuniti setempat agar lebih dekat dengan realiti dunia pekerjaan.
“Saya sedang usahakan dengan beberapa syarikat di Lembah Pantai untuk menganjurkan lawatan industri dan latihan amali bagi pelajar terlibat sementara menunggu keputusan peperiksaan.
“Ramai yang tahu logo atau jenama syarikat seperti Touch ‘n Go dan syarikat lain yang berpangkalan di Lembah Pantai, tapi belum pernah masuk atau tahu suasana kerja sebenar di dalamnya. Harapan saya, pendedahan ini boleh menjadi pembakar semangat buat mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd