Nazar, pena dan doa: Amanah bela Al-Aqsa

Nazar, pena dan doa: Amanah bela Al-Aqsa


PERJUANGAN membebaskan Masjid Al-Aqsa tidak pernah berhenti kerana ia bukan sekadar peperangan fizikal, tetapi juga ujian keimanan terhadap seluruh umat Islam.

Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menegaskan, walaupun kita berada jauh dari bumi Palestin, tanggungjawab terhadap Baitulmaqdis tetap terpikul pada bahu setiap Muslim.

Apatah lagi katanya, nazar untuk menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa menjadi lambang bahawa perjuangan itu masih hidup dan janji tersebut mesti diikat hingga kemenangan tiba.

WAN MOHAMAD

“Nazar itu bukan sekadar doa, tetapi janji. Ia lambang bahawa kita tetap bersama perjuangan ini dengan kemampuan masing-masing.

“Kalau tak dapat turun ke medan perjuangan, kita boleh menyumbang dengan doa, pena atau (usaha menyebarkan) kesedaran. Setiap orang ada peranan masing-masing,” katanya dalam webinar bertajuk Taufan Al-Aqsa: Dua tahun mengubah naratif perjuangan Palestin anjuran PUM yang disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook persatuan itu baru-baru ini.

Wan Mohamad kemudian mengajak umat Islam memperbaharui nazar agar dapat menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa sebagai tanda kesetiaan terhadap perjuangan umat yang belum tamat.

“Bila kita lihat gambar anak kecil di Gaza yang tersenyum walaupun lapar, itu mengajar kita erti reda dan iman sebenar.

“Mereka tidak punya apa-apa selain tawakal dan keyakinan kepada ALLAH, namun tetap tabah. Itulah kekuatan yang kita kena pelajari daripada rakyat Palestin.

“Jika mereka yang diuji sebegitu berat masih mampu tersenyum, kita yang hidup aman seharusnya lebih banyak bersyukur dan berbuat sesuatu untuk agama,” jelasnya.

Dalam pada itu, Wan Mohamad mengingatkan, perjuangan isu Palestin dan pembebasan Masjid Al-Aqsa bukan isu politik semata-mata, sebaliknya amanah iman yang wajib dipikul oleh seluruh umat Islam.

“Membela Palestin bukan pilihan, tetapi kewajipan. Jika kita berdiam diri, kita turut bersalah,” tegas beliau.

Tambah beliau, sejarah telah membuktikan bahawa tiada kuasa besar kekal selama-lamanya dan keangkuhan mana-mana pihak yang menindas pasti akan tumbang sebagaimana runtuhnya kerajaan terdahulu.

PERJUANGAN isu Palestin dan pembebasan Masjid Al-Aqsa bukan isu politik semata-mata, sebaliknya amanah iman yang wajib dipikul oleh seluruh umat Islam. -Foto: CANVA

PERJUANGAN isu Palestin dan pembebasan Masjid Al-Aqsa bukan isu politik semata-mata, sebaliknya amanah iman yang wajib dipikul oleh seluruh umat Islam. -Foto: CANVA

“Amerika Syarikat tewas di Vietnam (dalam Perang Vietnam), manakala (Kesatuan) Soviet rebah di Afghanistan. Ini tanda bahawa kuasa besar boleh tumbang. Begitu juga dengan keangkuhan Zionis, ia pasti akan berakhir.

“Kita hanya perlu sabar dan terus berdoa. Pertolongan ALLAH pasti datang bila sampai waktunya sebagaimana firman-NYA bahawa kemenangan itu untuk orang yang sabar,” katanya.

Baginya, keimanan dan kesabaran umat Palestin menjadi cerminan kepada kekuatan rohani Islam kerana mereka tidak pernah berhenti berjuang walaupun diuji dengan kematian, kelaparan dan kehancuran.

“Saya selalu katakan pada diri dan anak-anak, satu hari nanti, kalau ALLAH izinkan, biarlah kita mati dalam perjuangan membela Al-Aqsa, bukan mati sia-sia,” ujar beliau.

Peranan anak muda

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMAPIUM), Ahmad Shafiq Sari mengingatkan anak muda agar tidak sekadar menjadi pemerhati dalam isu Palestin, sebaliknya tampil sebagai penggerak kesedaran dan penyampai mesej perjuangan kepada masyarakat.

“Kita tidak boleh pasif. Mahasiswa mesti memainkan peranan dengan menulis, berkempen dan mendidik masyarakat. Ini jihad ilmu yang perlu diteruskan,” jelas beliau.

AHMAD SHAFIQ

AHMAD SHAFIQ

Beliau menjelaskan, Taufan Al-Aqsa membuka mata generasi anak muda tentang makna perjuangan sebenar dan bagaimana setiap tindakan kecil mampu menyumbang kepada kebangkitan kesedaran.

“Kita tidak ada senjata seperti mereka di Gaza, tetapi kita ada pena dan suara.

“Kalau bukan kita yang bersuara, siapa lagi? Ini tanggungjawab yang akan ditanya di akhirat,” katanya.

Ahmad Shafiq turut menekankan bahawa peranan mahasiswa bukan sekadar menekan butang ‘kongsi’ di media sosial, tetapi turut membina kefahaman yang mendalam terhadap isu kemanusiaan tersebut.

“Ramai mahasiswa rasa ‘kecil’ kononnya tak mampu ubah apa-apa, tetapi sebenarnya setiap perkongsian atau tulisan boleh jadi cahaya kecil untuk menyedarkan orang lain.

“Kita kena percaya bahawa setiap usaha yang kecil pun ada nilainya di sisi ALLAH. Jangan pandang rendah pada kuasa ilmu dan pena,” ujarnya.

SELAIN menekan butang ‘kongsi’ di media sosial, binalah kefahaman yang mendalam terhadap isu kemanusiaan yang berlaku di Palestin supaya lebih ramai orang celik tentangnya. -Foto: 123RF

SELAIN menekan butang ‘kongsi’ di media sosial, binalah kefahaman yang mendalam terhadap isu kemanusiaan yang berlaku di Palestin supaya lebih ramai orang celik tentangnya. -Foto: 123RF

ANEKDOT

Kenapa bumi Palestin perlu dipertahankan?

1. Masjid kiblat pertama umat Islam

Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis menjadi kiblat pertama bagi umat Islam sebelum ia ditukar ke arah Kaabah di Makkah.

2. Tanah para nabi

Bumi Palestin pernah menjadi tempat lahir, berjuang dan dikebumikan ramai nabi ALLAH termasuk Nabi Ibrahim, Nabi Ishak, Nabi Yaakub, Nabi Musa, Nabi Isa AS dan lain-lain.

3. Padang mahsyar dan pusat keamanan

Rasulullah SAW bersabda bahawa Palestin ialah bumi Mahsyar dan kebangkitan manusia selepas kiamat menerusi hadis riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah.

4. Bumi jihad dan keteguhan iman

KEIMANAN dan kesabaran umat Palestin menjadi cerminan kepada kekuatan rohani Islam kerana mereka tidak pernah berhenti berjuang walaupun diuji dengan kematian, kelaparan dan kehancuran. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

KEIMANAN dan kesabaran umat Palestin menjadi cerminan kepada kekuatan rohani Islam kerana mereka tidak pernah berhenti berjuang walaupun diuji dengan kematian, kelaparan dan kehancuran. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Mereka yang menetap di bumi Syam termasuk Palestin dianggap sedang berjihad di jalan ALLAH. Bumi itu juga disebut sebagai benteng pertahanan umat Islam.

5. Hak umat Islam hingga kiamat

Rasulullah SAW menegaskan, akan ada sekelompok umat Islam di Baitulmaqdis yang sentiasa mempertahankan kebenaran hingga akhir zaman.

6. Tanah yang diberkati ALLAH

ALLAH mengangkat kemuliaan Palestin dalam ayat pertama surah Al-Isra’ yang menyebut bahawa Masjid Al-Aqsa dan sekelilingnya sebagai bumi diberkati.

7. Ibu negara Islam akhir zaman

Rasulullah SAW bersabda bahawa kebangkitan dan pembangunan Baitulmqdis menandakan kemunculan peristiwa besar akhir zaman.

*Sumber: https://pic.upm.edu.my/



Source link

OR

Scroll to Top