Aaron–Khai Xing juara Malaysia Super 100.
BEREGU lelaki muda negara, Aaron Tai–Kang Khai Xing menutup kempen Malaysia Super 100 dengan penuh bergaya apabila merangkul gelaran sulung Siri Jelajah Dunia selepas menewaskan rakan senegara, Chia Wei Jie–Lwi Sheng Hao di Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri pada Ahad.
Gandingan ranking ke-63 dunia itu tampil tenang dan konsisten untuk menundukkan lawan 21-18, 21-7 dalam masa 28 minit pada perlawanan akhir yang dikuasai sepenuhnya di set kedua.
Menurut Khai Xing, kemenangan tersebut hasil persiapan rapi dan komunikasi mantap sepanjang kejohanan.
“Kemenangan ini meningkatkan keyakinan kami untuk kejohanan seterusnya. Kunci kejayaan kami ialah semangat kerana apabila semangat berada di tahap terbaik, kami mampu mengawal permainan,” katanya.
Tambahnya, keserasian di gelanggang juga menjadi pemangkin kepada rentak permainan yang tersusun.
“Kami cukup bersedia hari ini dan komunikasi kami berada pada tahap terbaik,” ujarnya.
Sementara itu, Aaron mengakui kejayaan mereka berpunca daripada usaha gigih dalam latihan.
“Kami berjaya mengeluarkan segala yang dipraktikkan semasa latihan, dan itu banyak membantu kami mengekalkan fokus,” katanya.
Ringkasan AI
- Beregu lelaki muda negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing merangkul gelaran sulung Siri Jelajah Dunia
- Gandingan tersebut menewaskan rakan senegara, Chia Wei Jie-Lwi Sheng Hao di Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri
- Kemenangan dalam masa 28 minit itu hasil persiapan rapi dan komunikasi mantap
- Keserasian di gelanggang dan semangat tinggi menjadi kunci kejayaan mereka
- Usaha gigih dalam latihan dan kemampuan mengeluarkan segala yang dipraktikkan membantu mengekalkan fokus