Maguire menerima tepukan daripada para pemain United di bilik persalinan.
HARRY MAGUIRE menerima sambutan wira daripada rakan sepasukannya di Manchester United selepas menjaringkan gol kemenangan penting menentang Liverpool.
United mendahului seawal minit pertama hasil penyudah kemas Bryan Mbeumo sebelum Cody Gakpo menyamakan kedudukan menerusi jaringan jarak dekat.
Namun, Maguire menjadi wira apabila menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-84 selepas berjaya melepasi kawalan Ibrahima Konate ketika situasi sepakan penjuru.
Jaringan itu memastikan kemenangan 2-1 buat Red Devils di Anfield menjadi kemenangan pertama mereka di gelanggang keramat Liverpool itu dalam tempoh hampir sedekad.
Sebaik selesai temu bual pasca perlawanan, Maguire disambut dengan tepukan gemuruh serta sorakan rakan sepasukan dan kakitangan kejurulatihan sebaik melangkah masuk ke bilik persalinan.
Kapten pasukan, Bruno Fernandes turut memeluk Maguire sebagai tanda penghargaan selepas hantaran lintangnya menghasilkan gol berharga itu.
Pengendali United, Ruben Amorim turut gembira melihat suasana ceria dalam bilik persalinan, namun sempat berseloroh mengenai satu perkara yang kurang digemarinya.
“Saya suka melihat pemain-pemain gembira, itu perkara yang paling menggembirakan saya.
“Tapi muzik yang dimainkan dalam bilik persalinan sekarang sangat teruk. Cita rasa muzik saya jauh lebih baik,” katanya sambil ketawa.
Detik itu cukup bermakna buat Maguire yang sebelum ini melalui pelbagai turun naik sepanjang kariernya bersama kelab tersebut.
Pemain berusia 32 tahun itu ditandatangani dari Leicester City pada tahun 2019 dengan rekod perpindahan 85 juta pound (RM482 juta), namun pernah menjadi sasaran kritikan selepas beberapa siri aksi hambar yang menyaksikannya disisihkan daripada kesebelasan utama.
Bagaimanapun, Amorim kembali memberi kepercayaan kepadanya musim ini dan menamakan Maguire dalam kumpulan kepimpinan baharu kelab.
Jaringan menentang Liverpool itu merupakan gol pertamanya musim ini dan pastinya sukar membayangkan saat yang lebih manis berbanding menjaringkannya di tempat lawan menentang juara bertahan Liga Perdana, sekali gus menghadiahkan kekalahan keempat berturut-turut kepada mereka dalam semua pertandingan.
Ringkasan AI
- Harry Maguire menerima sambutan wira dari rakan sepasukannya di Manchester United selepas menjaringkan gol kemenangan menentang Liverpool
- Maguire menjadi wira dengan gol menang pada minit ke-84 melalui tandukan, mengatasi kawalan Ibrahima Konate
- Kemenangan 2-1 di Anfield adalah yang pertama untuk Red Devils di sana dalam hampir sedekad
- Bruno Fernandes memeluk Maguire sebagai tanda penghargaan untuk jaringan tersebut
- Ruben Amorim berpuas hati dengan suasana ceria tetapi berseloroh tentang muzik teruk yang diputar dalam bilik persalinan