saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bakat luar biasa dimiliki pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli yang akan beraksi selaku pelumba wildcard Moto3 pada Grand Prix (GP) Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang dari 24 hingga 26 Oktober ini adalah sesuatu yang amat sukar untuk diperoleh.
Pengarah Urusan Mitratech Asia, Mohd Azuan Izadee Md Nordin menegaskan bahawa keyakinan terhadap potensi istimewa yang ada pada pelumba remaja itulah yang menjadi pendorong utama syarikatnya untuk tampil sebagai rakan penaja.
Menurutnya, keputusan untuk melabur dalam perjalanan karier Hakim Danish dibuat atas dasar kepercayaan penuh terhadap kebolehannya untuk pergi lebih jauh di persada dunia.
Sebagai bukti komitmen padu itu, logo Mitratech Asia turut terpapar di bahagian hadapan jentera perlumbaan Hakim Danish, satu isyarat jelas bahawa pelaburan yang dibuat bukanlah satu pelaburan yang murah.
“Bakat yang dimiliki oleh Hakim Danish Ramli sukar diperoleh. Ia adalah sesuatu yang istimewa dan kami di Mitratech Asia percaya ia perlu digilap sebaik mungkin untuk menyerlah di peringkat tertinggi,” kata Azuan.
Azuan, yang juga juga Pengerusi Kelab Sukan Bermotor BRAAAP mendedahkan bahawa beliau secara peribadi sudah menyaksikan sendiri evolusi Hakim Danish sejak dari peringkat akar umbi lagi.
“Saya menjadi saksi perkembangannya sejak dia menjuarai kejuaraan sulung SIC MiniGP pada tahun 2020, di mana BRAAAP adalah penganjur bersama. Sejak itu, saya tahu dia mempunyai sesuatu yang berbeza,” katanya.
Tambahnya, karakter yang ditunjukkan oleh Hakim Danish di litar dan di luar litar sememangnya berbeza berbanding pelumba cilik lain, dengan disiplin dan fokus yang begitu menyerlah pada usia muda.
Menurut Azuan, potensi yang ada pada Hakim Danish bukan sahaja mampu menjadikannya seorang ikon sukan, tetapi juga sebagai contoh teladan kepada golongan remaja yang meminati sukan permotoran.
“Dia boleh menjadi contoh terbaik kepada remaja di luar sana, menunjukkan bahawa ada laluan yang betul untuk berjaya dalam sukan ini, dan bukan dengan cara yang salah seperti merempit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd