Liyana gabung jiwa penyanyi, pengarah dalam satu nadi

Liyana gabung jiwa penyanyi, pengarah dalam satu nadi


georgie@hmetro.com.my

LIYANA Jasmay kini kembali mewarnai industri seni tanah air, bukan sahaja dengan kemunculan lagu baharu, Terluka, tetapi dengan langkah berani sebagai pengarah filem.

Selepas beberapa ketika menyepi daripada industri, Liyana, 37, tampil dengan buah tangan terbaharu yang menjanjikan kelainan berbanding karya-karyanya sebelum ini, menunjukkan sisi muzik lebih matang.

Pada masa sama, semangatnya dalam bidang seni tidak terhenti apabila kini giat membuat persiapan untuk filem sulungnya, sebuah projek yang sudah lama disimpan dan akan menjadi kenyataan.

Kesibukannya kini terbahagi antara mempromosikan single terbaharu dan menguruskan praproduksi filem bakal diarahkan tidak lama lagi, menandakan satu fasa baharu sangat sibuk dalam kerjayanya.

Perkembangan kerjayanya ini memperlihatkan evolusi Liyana daripada pelakon dan penyanyi kepada pembikin filem serius dengan jadual padat, sekali gus membuktikan komitmen tertingginya.

“Lagu baharu ini sama saja temanya macam Cinta Bersatu, tapi Cinta Bersatu dia jumpa cintakan. (Tapi lagu) yang baharu ini saya macam putus cinta, ditinggalkan, lagu ke arah kematanganlah.

“Saya sebenarnya nak juga buat lagu remaja, tapi tahun depanlah pula sebab sudah tidak cukup masa buat masa sekarang,” katanya.

Menurutnya, lagu berjudul Terluka hasil ciptaan komposer Indonesia bernama Ilham dan proses rakamannya bermula sejak tahun lalu, tetapi terpaksa melalui beberapa fasa.

Katanya, proses yang berulang-ulang itu akhirnya terhenti seketika kerana dia terikat dengan komitmen lain, terutama dalam bidang pengarahan.

Kesibukan menulis skrip dan menguruskan projek lain membuatkan dia tidak dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada rakaman lagu terbabit.

“Saya sudah masuk dalam projek lain iaitu mengarah, tak ada masa bila buat skrip. Maksudnya saya kena siapkan dulu projek pengarahan termasuk sebuah siri dan ada filem akan datang.

“Kesempatan yang ada pada September lalu digunakan sepenuhnya untuk melancarkan lagu sebelum saya terbang ke Cannes, Perancis,” katanya.

Bercakap mengenai kunjungan ke Cannes, Liyana memaklumkan dia membawa misi besar demi kerjayanya sebagai pengarah termasuk mencari pelabur bagi filem akan datang.

“Saya ke Cannes untuk bawa projek baharu bagi mencari pelabur. Ini adalah pertama kali, jadi saya sangat berkobar-kobar dengan harapan untuk bertemu dengan pelabur luar negara,” katanya.

Skrip filem bergenre seram itu, katanya, sudah lama disimpan dan kini mencari empat pelakon wanita dan dua pelakon lelaki untuk melengkapkan barisan pelakon.

“Sebenarnya saya ada banyak skrip. Contohnya filem seram yang saya tulis ini, sudah buat bertahun-tahun, tetapi saya letak tepi. Mungkin ia punya jalan cerita belum sampai lagi, saya cakap,” katanya.

Peluang merealisasikannya terbuka apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyediakan dana lalu mencuba nasib dengan menghantar skrip walaupun pada mulanya belum lengkap.

“Tiba-tiba, FINAS buka dana. Saya cakap, dia orang perlukan skrip penuh lalu saya bagi skrip yang memang lama disimpan dan Alhamdulillah skrip itu diterima,” katanya.

Satu perkara menarik adalah bagaimana Liyana kini mula dikenali oleh Generasi Z, bukan kerana karier lakonan atau nyanyiannya, tetapi melalui video reviu makanan yang tular di aplikasi TikTok.

Liyana bersyukur kerana ia membuka pintu untuknya mendekati pasaran audien yang lebih muda.

“Saya sangat bersyukur sebab Gen Z tak kenal saya, kecuali hanya ‘millennial’ dengan ‘boomers’ saja yang kenal. Bila jumpa Gen Z, mereka pandang saya lama dan cakap, wajah saya seakan-akan mereka kenal.

“Sebenarnya semua pasal kandungan pasal makanan saya di TikTok. Saya rasa bersyukur juga sebab tular begitu, Gen Z mula kenal, tapi mereka tak tahu nama saya, namun cam wajah saya,” katanya.

Menghadapi komen negatif di media sosial, terutama yang menyentuh mengenai penampilannya termasuk mata ‘sembab’, Liyana mengambil pendekatan positif.

Baginya, selagi orang masih memperkatakan mengenai dirinya, ia adalah satu bentuk publisiti yang baik untuk kerjayanya.

“Tular baik atau buruk tiada apa salahnya, asalkan orang masih bercakap pasal saya. Tidak kisah pun dan semoga mereka tahu pasal saya, tahu saya penyanyi dan pengarah filem sudah memadai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top