Petaling Jaya: Grab Malaysia tampil di perarakan Hari Kebangsaan tahun ini, menyatukan lebih 500 rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang bagi meraikan keharmonian budaya dan tradisi negara.
Dengan kontinjen yang berarak di pelbagai negeri, Grab mempamerkan komitmennya dalam memupuk perpaduan dan kepelbagaian dalam kalangan rakyat Malaysia, selaras dengan tema tahun ini, “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka.”
Dipimpin Pengarah Operasi dan Mobiliti, Rashid Shukor, kontinjen Grab di Putrajaya, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuantan, Melaka dan Pulau Pinang terdiri daripada gabungan rakan pemandu, penghantar serta pekerja dari Grab Malaysia dan GXBank.
Membawa semangat #GrabBersamaMalaysia, penyertaan ini menunjukkan dedikasi Grab dalam menyokong komuniti Malaysia dan mempromosikan inklusif.
Salah satu ciri utama penyertaan Grab ialah melibatkan ramai Orang Kurang Upaya (OKU) seperti Siti Fatimah.
Rakan pemandu Grab OKU berpengalaman ini menyatakan rasa bangganya dapat mewakili komuniti OKU di peringkat nasional.
“Sebagai rakan pemandu kurang upaya, peluang ini amat bermakna bagi saya. Saya bukan saja mewakili Grab malah seluruh masyarakat OKU di peringkat kebangsaan.
“Ini menunjukkan walaupun kami mempunyai cabaran fizikal, kami juga boleh menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.
Rakan penghantar dari Johor Bahru, Nurasma Omar turut berkongsi pengalamannya dan mengucapkan terima kasih atas peluang menyertai perarakan Hari Kebangsaan.
Menurut Nurasma, dia amat tersentuh dengan perpaduan rakyat Malaysia yang mengambil bahagian dalam perarakan ini.
“Pengalaman ini membuatkan saya lebih menghargai pekerjaan saya setiap hari iaitu berkhidmat kepada masyarakat bersama rakan Grab yang lain di seluruh Malaysia.”
Turut berdiri teguh bersama Grab Malaysia, rakan pemandu dan penghantarnya adalah pekerja dari GXBank, bank digital pertama di Malaysia.
Syarikat ini berkongsi visi yang sama untuk membentuk masa depan di mana teknologi memainkan peranan dalam membentuk dan memperkasa sebuah negara yang lebih inklusif untuk rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Rashid menekankan komitmen Grab Malaysia dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat Malaysia.
“Sebagai jenama tempatan, penting untuk kita bukan sahaja meraikan kekayaan kepelbagaian dan warisan negara ini, tetapi juga mengiktiraf dedikasi tanpa jemu rakyat Malaysia yang membantu membentuk negara kita.
“Kami ingin mengambil peluang ini untuk memberi penghormatan kepada rakan pemandu dan penghantar atas komitmen dan perkhidmatan mereka yang tidak berbelah bahagi yang menjadi nadi bagi Grab.
“Walaupun berbeza latar belakang, kami disatukan oleh visi yang sama untuk memainkan peranan dalam membina masa depan yang lebih cerah untuk Malaysia.
“Dengan rakan pemandu dan penghantar Grab di sisi, kami lebih bersemangat dan terdorong untuk menggapai impian tersebut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd