Wei Chong–Kai Wun mara ke Pusingan Kedua Terbuka Perancis Super 750 pada Selasa. Foto BAM
BEREGU lelaki utama negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun memulakan kempen Terbuka Perancis Super 750 dengan langkah bergaya selepas menundukkan gandingan Korea Selatan, Kang Min-hyuk–Ki Dong-ju, 21-9, 21-13 di Glaz Arena, Cesson-Sévigné pada Selasa.
Pasangan di ranking kelima dunia itu tidak memberi ruang kepada lawan sejak awal perlawanan dengan aksi konsisten dan serangan tajam, sebelum menamatkan pertarungan dalam masa hanya 27 minit.
Kemenangan itu melayakkan mereka ke pusingan kedua untuk berdepan gandingan England, Ben Lane–Sean Vendy, yang mara selepas menyingkirkan beregu senior negara, Tan Wee Kiong–Azriyn Ayub, 21-14, 21-13.
Lane–Vendy yang kini menghuni ranking ke-24 dunia, sebelum ini mencuri tumpuan apabila menewaskan dua beregu utama Malaysia Aaron Chia–Soh Wooi Yik di Terbuka Artik Super 500 serta Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani di pusingan pertama Terbuka Denmark Super 750.
Sementara itu, beregu campuran, pasangan negara Wong Tien Ci–Lim Chiew Sien terpaksa akur dengan kehebatan pilihan ketiga kejohanan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh–Supissara Paewsampran, apabila tewas 17-21, 17-21 dalam masa 41 minit.
Ringkasan AI
- BEREGU lelaki utama negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun menang bergaya terhadap pasangan Korea Selatan dalam Terbuka Perancis Super 750
- Pasangan ranking kelima dunia itu menamatkan pertarungan dalam masa 27 minit
- Kemenangan melayakkan mereka ke pusingan kedua untuk berdepan gandingan England, Ben Lane–Sean Vendy
- Lane–Vendy sebelum ini telah menewaskan dua beregu utama Malaysia di kejohanan lain
- Beregu campuran negara Wong Tien Ci–Lim Chiew Sien tewas kepada pasangan Thailand dalam Terbuka Perancis Super 750