Pempengaruh cuba makan percuma di restoran nasi kandar, dakwa ada 40,000 pengikut

Pempengaruh cuba makan percuma di restoran nasi kandar, dakwa ada 40,000 pengikut


redzuan.muharam@hmetro.com.my

Georgetown: “Saya layan semua pelanggan sama saja, kalau dia artis atau orang dikenali sekalipun, tetap kena bayar selepas makan kerana saya berniaga.

“Melainkan, saya sendiri jemput makan dan kata mahu belanja, itu lain cerita,” kata Mirzan Mohamed Yasin, pembantu pengurus sebuah restoran nasi kandar di sini.

Mirzan, 27, menarik perhatian warganet selepas berkongsi kisah dalam satu perkongsian di Facebook (FB) mengenai seorang individu yang datang ke restoran diusahakannya dan mahu makan percuma dengan alasan bergelar pempengaruh serta mempunyai puluhan ribu pengikut di media sosial.

Menurutnya, kejadian itu berlaku Ahad lalu dan dia sendiri melalui pengalaman berkenaan kerana kebetulan bertugas di kaunter.

“Individu berkenaan datang bersama keluarganya jam 9 pagi dan waktu sampai, dia jumpa saya perkenalkan dirinya seorang pempengaruh.

“Jujurnya saya tak kenal siapa dia …kemudian dia tunjukkan akaun media sosialnya yang ada 40,000 pengikut.

“Saya tengok saja kemudian dia tanya perlu atau tidak bayar kerana katanya akan ambil video.

“Saya beritahunya tak salah ambil video tapi tetap kena bayar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mirzan berkata, individu berkenaan bagaimanapun tidak beredar sebaliknya terus berada di restoran untuk menjamu selera.

“Selesai makan dan waktu nak bayar di kaunter, saya beritahu harga keseluruhan dicaj adalah sebanyak RM53.60.

“Individu itu kemudian beritahu sekali lagi yang dia pempengaruh tapi saya tetap katakan dia perlu bayar.

“Akhirnya dia bayar juga sebelum beredar dari restoran dengan keluarganya ,” katanya.

Mirzan berkata, dia tidak pernah berdepan situasi begitu sejak menjadi pembantu pengurus di restoran milik bapanya itu kira-kira empat tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, dia pernah dihubungi pempengaruh menerusi media sosial yang meminta bayaran jika mahu membuat ulasan di restorannya.

“Sebenarnya, itu kali pertama saya berdepan pengalaman berkenaan dan saja kongsi di media sosial.

“Tak sangka dapat perhatian ramai hingga ada seorang pemilik inap desa tinggalkan komen mengatakan pernah terkena situasi hampir sama.

“Sebelum ini ada seorang individu mengaku pempengaruh mesej di FB untuk bertanya sama ada boleh atau tidak ambil video di restoran.

“Saya setuju (datang dan ambil video) kemudian dia terus hantar sebut harga dalam RM2,000 tapi saya tak balas kerana tak nampak ada keperluan untuk itu ,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top