Bukan sekadar biasiswa, tapi kepercayaan — Nazmizan

Bukan sekadar biasiswa, tapi kepercayaan — Nazmizan


Nazmizan (barisan belakang, dua dari kanan) bersama Zaliman dan Salwa, atlet serta tetamu selepas majlis di UniMAP.

BEKAS Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad menyifatkan pelancaran Biasiswa Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) –Budaya Positif sebagai satu titik perubahan besar dalam ekosistem sukan universiti apabila bukan sekadar bantuan kewangan tetapi simbol kepercayaan terhadap potensi serta nilai yang dibawa oleh atlet universiti.

Menurut Nazmizan yang juga Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Thailand 2025, biasiswa berkenaan menanam keyakinan bahawa kecemerlangan sukan tidak boleh dipisahkan daripada pembentukan jati diri, disiplin dan mentaliti juara.

“Ia bukan hanya tentang siapa paling pantas atau paling kuat, tetapi siapa yang paling berdisiplin, paling fokus dan menghargai proses untuk berjaya,” ujarnya kepada Sukan Sinar.

Seramai lapan atlet UniMAP sebelum itu terpilih menerima biasiswa berkenaan pada satu majlis yang disempurnakan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli bersama wakil Budaya Positif Sdn Bhd, Salwa Samsudin di universiti berkenaan.

Biasiswa ini diiktiraf sebagai inisiatif pertama seumpamanya di UniMAP yang melibatkan penyertaan langsung industri dalam menyokong kebajikan serta pembangunan sukan atlet universiti.

Langkah ini turut memperkukuh momentum Program Sukan Prestasi Tinggi UniMAP yang dilancarkan pada Januari lalu dipengerusikan Nazmizan satu lagi bukti kesungguhan universiti melahirkan atlet berdaya saing dengan keseimbangan akademik dan kokurikulum.

Tambah Nazmizan, inisiatif itu membawa mesej jelas bahawa kejayaan sebenar tidak semata-mata diukur melalui pingat, tetapi melalui sikap, tanggungjawab serta nilai positif yang diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Program ini mendorong atlet untuk menjadi insan lebih berdikari dan berfikir jauh ke hadapan. Ia membina budaya baharu dalam sukan universiti atlet bukan lagi sekadar berlatih untuk menang, tetapi berjuang untuk menjadi insan berintegriti yang mampu menjadi inspirasi,” katanya.

Beliau menambah, kolaborasi strategik antara UniMAP dan Budaya Positif Sdn Bhd adalah bukti kesungguhan universiti berkenaan memperkukuh pembangunan sukan berprestasi tinggi di peringkat IPT.

“Kerjasama dengan industri ini bukan sekadar tajaan. Ia simbol sinergi bagaimana dunia korporat boleh berganding bahu dengan akademia untuk membina modal insan yang berdaya tahan dan berpotensi besar mengharumkan nama negara,” ujar Nazmizan.

Ringkasan AI

  • Bekas Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad, menyifatkan pelancaran Biasiswa Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) – Budaya Positif sebagai titik perubahan dalam ekosistem sukan universiti
  • Biasiswa tersebut bukan sekadar bantuan kewangan tetapi juga simbol kepercayaan terhadap potensi atlet universiti
  • Delapan atlet UniMAP telah terpilih untuk menerima biasiswa tersebut
  • Inisiatif ini dianggap sebagai bukti kesungguhan UniMAP dalam melahirkan atlet berdaya saing yang seimbang antara akademik dan kokurikulum
  • Kolaborasi antara UniMAP dan Budaya Positif Sdn Bhd merupakan simbol sinergi antara dunia korporat dan akademia dalam membina modal insan berpotensi



Source link

OR

Scroll to Top