RM2.5 juta 'ubah' desa

RM2.5 juta 'ubah' desa


suliati@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Inisiatif Kampung Angkat MADANI (KAM) menjadi nadi perubahan kepada masyarakat luar bandar apabila berjaya membawa pembangunan di kampung terpilih.

Contoh terbaik ialah Kampung Sungai Betul, Bagan Datuk, Perak yang dipilih menjadi kampung angkat di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui inisiatif KAM yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 bagi mengangkat prinsip whole of government dengan memberi penekanan kepada keperluan infrastruktur asas.

Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar berkata pemilihan Kampung Sungai Betul dibuat berdasarkan penilaian kadar akses dan kemudahan asas di kampung itu yang masih di bawah 50 peratus.

Katanya, walaupun kampung ini sudah mempunyai infrastruktur, ia masih perlu diberi bantuan serta naik taraf dari segi aspek infrastruktur, pembangunan sosioekonomi dan kemudahan asas supaya dapat memberi keselesaan kepada kampung.

“Bantuan dan naik taraf ini juga penting supaya penduduk dapat menggunakan peningkatan infrastruktur itu untuk kebaikan dan kemudahan mereka.

“Pemilihan kampung ini bertepatan dengan kedudukan Kampung Sungai Betul yang kaya dengan sejarah pertanian khususnya dalam bidang kelapa, perikanan dan hasil laut serta disokong oleh komuniti desa yang utuh dengan semangat gotong-royong dan jalinan hubungan erat sesama penduduk,” katanya.

Kampung yang mempunyai seramai 330 penduduk itu masih berdepan dengan kekurangan kemudahan asas yang memberi kesan langsung kepada kualiti hidup penduduk.

Muhd Khair Razman berkata sebahagian besar penduduk masih belum menikmati bekalan air bersih, bekalan elektrik yang stabil, lampu jalan mencukupi serta jaringan jalan desa yang baik.

Selain itu, katanya masih terdapat keluarga B40 yang mendiami rumah usang dan tidak selamat untuk didiami.

“Kemudahan awam seperti dewan orang ramai, titi kecil serta jalan perhubungan ladang dan desa juga berada dalam keadaan daif dan memerlukan kerja naik taraf dengan segera.

“Dari segi geografi, kedudukan Kampung Sungai Betul yang berhampiran muara sungai turut mendedahkan kawasan ini kepada risiko hakisan tebing, banjir kilat dan perubahan paras air pasang surut.

“Dalam masa sama, tarikan semula jadi seperti Beting Beras Basah perlu dipulihara dengan baik agar kekayaan alam sekitar kampung ini terus terpelihara untuk manfaat generasi akan datang,” katanya.

Justeru, peruntukan sebanyak RM2.5 juta yang disediakan menerusi KAM ini sudah dimanfaatkan sepenuhnya bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan merangkumi aspek infrastruktur, kemudahan awam dan program komuniti sejak November lalu.

Ini termasuklah kerja menaik taraf Jalan Pembangunan Desa (JPD) yang menghubungkan kampung ke jalan utama, Jalan Ladang Pertanian (JLP) yang menghubungkan kawasan pertanian dan dusun, dewan orang ramai, pembaikan titi serta pembaikan rumah bagi golongan B40.

Muhd Khair Razman berkata peruntukan itu juga digunakan untuk pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi termasuk keusahawanan dan latihan kemahiran (TVET) bagi belia luar bandar.

“Fokus kita bukan hanya membina kemudahan, tetapi juga memberi peluang kepada belia supaya kekal di kampung.

“Kalau kita mahu mereka kekal di kampung, kita kena sediakan kemudahan. Kalau tiada kemudahan, pendidikan atau peluang pekerjaan, mereka tiada pilihan.

“Dengan adanya program pembangunan ekonomi, keusahawanan dan TVET, belia dapat membina kehidupan di kampung sendiri,” katanya.

Tambahnya, Bagan Datuk kini dalam perancangan untuk dijadikan hab pembangunan maritim negeri Perak, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat setempat termasuk penduduk Kampung Sungai Betul.

Dari segi kolaborasi pula, pelaksanaan projek ini turut membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), FELCRA Berhad (FELCRA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menurut Muhd Khair Razman, apa juga projek tidak dapat dilaksanakan secara berseorangan.

“KKDW tidak boleh melaksanakan sesuatu projek itu dengan jayanya tanpa sokongan daripada pihak NGO atau pihak berkepentingan juga daripada masyarakat setempat.

“Kalau penduduk Kampung Sungai Betul misalnya tidak memberi kerjsama, tidak berminat maka tidak gunalah kita melaksanakan sebarang bentuk kemajuan di kampung ini,”katanya.

Mengulas lanjut, Muhd Khair Razman berkata sepanjang sembilan bulan pelaksanaan projek KAM di Kampung Sungai Betul, sambutan dan penerimaan masyarakat setempat amat positif.

Menurutnya, pelaksanaan projek KAM ini juga membawa pelbagai manfaat signifikan kepada penduduk kerana ia bukan sahaja membuka lebih banyak peluang ekonomi dan membawa limpahan rezeki kepada masyarakat, malah memberi nafas baharu kepada pembangunan setempat.

“Kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara ke Bagan Datuk turut memberikan impak positif terhadap peningkatan pendapatan penduduk dan pengukuhan ekonomi desa.

“Penambahbaikan jaringan jalan serta akses terus ke lebuh raya West Coast Expressway (WCE) memudahkan penduduk memasarkan produk mereka.

“Tanpa WCE, akses untuk ke Bagan Datuk tidak mudah dan perlu melalui Teluk Intan,” katanya.

Projek KAM ini bukan sekadar menaik taraf prasarana, sebaliknya menjadi platform untuk memberi kemudahan sewajarnya bagi mempertingkatkan sosioekonomi di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, Muhd Khair Razman mengakui pelaksanaan projek berkenaan turut berdepan cabaran, terutamanya berkaitan status tanah persendirian.

“Kadang-kadang sesuatu projek itu lewat daripada yang dijadualkan bukan disebabkan kementerian ataupun kontraktor tetapi ada kalanya disebabkan birokrasi di peringkat daerah. Bila kita mahu laksanakan projek terutama membabitkan tanah milik individu, perlu ada kebenaran.

“Namun, kita berterima kasih kepada Pejabat Tanah dan Daerah Bagan Datuk dan Maklis Perbandaran Teluk Intan kerana tanpa sokongan mereka, sukar untuk kita melaksanakan pembangunan,” katanya.

Kejayaan projek di Kampung Sungai Betul ini kata Muhd Khair Razman menjadi model kepada pelaksanaan KAM di kawasan lain termasuk Kampung Bukit Sapi di Lenggong, Perak yang dipilih untuk pelaksanaan tahun ini.

“Bagi saya, program sebegini perlu diteruskan kerana kalau nak dibebankan 100 peratus kepada KKDW tidak mampu. Maka pendekatan whole of Govement ini adalah langkah terbaik.

“Tidak ada mana-mana negara atau kementerian yang boleh melaksanakan secara bersendirian. Ia perlu pendekatan secara kolektif,” katanya yang turut berharap kampung dibawah program ini akan menjadi model pembangunan desa seimbang, inklusif dan berdaya saing selaras dengan aspirasi madani yang menekankan keselesaan rakyat, perpaduan masyarakat dan kemajuan negara secara holestik.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top