SKUAD hoki wanita remaja negara, Young Tigress bertekad memastikan semangat juara yang mereka peroleh di Piala Tun Abdul Razak tidak sekadar menjadi kenangan manis, sebaliknya diterjemahkan di pentas sebenar apabila beraksi pada Piala Dunia Remaja 2025 di Santiago, Chile hujung tahun ini.
Pengurus pasukannya, Datuk Mohd Sayuti Abdul Samad menegaskan keyakinan yang terserlah sepanjang kejohanan tempatan itu harus menjadi bahan bakar utama dalam menghadapi cabaran getir menentang pasukan elit dunia.
“Saya percaya semua pemain kini bersemangat tinggi selepas menjadi juara Piala Tun Abdul Razak. Dari raut wajah mereka pun saya dapat lihat masing-masing sudah ada keyakinan untuk mempersembahkan yang terbaik di Santiago nanti.
“Kejayaan mengekalkan trofi Piala Tun Abdul Razak perlu diterjemahkan setiap pemain tidak sekadar hadir di Santiago 2025 sebagai pelengkap saingan, sebaliknya membawa jiwa dan kepercayaan bahawa Malaysia juga mampu bersaing dengan kuasa besar dunia,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebagai rekod, skuad Young Tigress mempertahankan kejuaraan Piala Tun Abdul Razak edisi ke-10 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, selepas menewaskan Selangor 3-1 menerusi penentuan penalti shoot-out pada 11 Oktober lalu.
Menyedari cabaran yang menanti dalam Kumpulan A bersama Belanda, Jepun dan tuan rumah Chile, Sayuti yang juga bekas penjaga gol negara memberi penekanan terhadap pembentukan kekuatan psikologi dan mental sebagai aspek utama dalam menghadapi tekanan peringkat dunia.
“Dari segi psikologi, saya tak pernah jemu memberi kata semangat dan motivasi dalam setiap pertemuan pasukan.
“Saya tegaskan kepada pemain, lawan yang bakal ditemui bukan calang-calang, jadi kita mesti beri persembahan terbaik dan tidak boleh takut dengan nama besar yang hadir di Chile,” katanya.
Sementara itu, beliau mengakui ketahanan mental menjadi keutamaan kerana tekanan dan intensiti di peringkat dunia jauh berbeza, justeru mahu memastikan skuad bimbingan Lailin Abu Hassan benar-benar bersedia dari semua sudut sebelum ke Santiago.
Dalam masa sama, Sayuti memaklumkan pihaknya sedang mengusahakan peluang untuk mengadakan satu siri perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai pendedahan terakhir sebelum ke Chile.
“Insya-ALLAH, besar kemungkinan ke China, sebagai medan terbaik menilai tahap sebenar pasukan sebelum Piala Dunia Remaja bermula,” ujarnya yang yakin dengan gabungan semangat juara, bimbingan berterusan dan pendedahan kompetitif, Young Tigress mampu memberikan kejutan di Santiago.
Ringkasan AI
- Young Tigress bertekad menerjemahkan semangat juara dari Piala Tun Abdul Razak ke Piala Dunia Remaja 2025 di Santiago, Chile
- Pasukan menghadapi cabaran berat dalam Kumpulan A bersama Belanda, Jepun, dan Chile
- Pengurus, Datuk Mohd Sayuti Abdul Samad menekankan kekuatan psikologi dan mental untuk menghadapi tekanan peringkat dunia
- Skuad Young Tigress mempertahankan kejuaraan Piala Tun Abdul Razak dengan menewaskan Selangor melalui penalti
- Pasukan merancang siri perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai pendedahan sebelum ke Chile