BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi isyarat penentangan terhadap sebarang peranan pasukan keselamatan Turkiye di Gaza sebagai sebahagian daripada misi antarabangsa memantau gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat dengan kumpulan militan Palestin, Hamas.
Bercakap dalam sidang media bersama Naib Presiden AS, JD Vance semalam, Netanyahu berkata mereka membincangkan mengenai “hari selepas” di Gaza, termasuk soal keselamatan dan pihak yang layak mengurus wilayah tersebut selepas dua tahun dilanda perang.
Vance, yang sehari sebelumnya menyatakan pelan gencatan senjata Presiden AS, Donald Trump, berjalan lebih baik daripada jangkaan, mengulangi keyakinannya terhadap usaha damai itu.
“Saya tidak pernah kata ia mudah, tetapi saya optimis bahawa gencatan senjata ini akan kekal dan kita mampu membina masa depan yang lebih baik di seluruh Asia Barat,” katanya.
Selepas 12 hari gencatan senjata dilaksanakan, perhatian kini tertumpu kepada fasa kedua pelan Gaza Trump.
Fasa ini menuntut Hamas melucutkan senjata dan menubuhkan jawatankuasa Palestin yang diawasi secara antarabangsa untuk mentadbir Gaza, dengan bantuan pasukan keselamatan antarabangsa serta polis Palestin yang telah disemak latar belakangnya.
Menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan penyertaan pasukan keselamatan Turkiye di Gaza, Netanyahu berkata beliau mempunyai pandangan yang sangat tegas tentang perkara itu.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan pendiriannya. Kementerian Luar Turkiye tidak segera memberi maklum balas, manakala Kementerian Pertahanan enggan mengulas.
Vance pula berkata Washington melihat Turkiye berpotensi memainkan “peranan yang membina” dalam usaha damai tersebut, namun menegaskan AS tidak akan memaksa Israel menerima kehadiran tentera asing “di tanah mereka.”
Hubungan Turkiye dan Israel, yang pernah mesra sebagai sesama anggota NATO, merosot ke tahap terendah semasa perang Gaza.
Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan, lantang mengkritik serangan Israel terhadap Gaza dan rantau sekitarnya, sementara Syria yang bersempadan dengan kedua-dua negara itu kini menjadi medan persaingan baharu antara Ankara dan Tel Aviv.