Kane tak berhenti menyengat, Karl cipta sejarah

Kane tak berhenti menyengat, Karl cipta sejarah


KETAJAMAN Harry Kane di depan gawang terus menjadi nadi kebangkitan Bayern Munich di bawah kendalian Vincent Kompany apabila gergasi Bundesliga Jerman itu membenam Club Brugge 4-0 dalam aksi Liga Juara-Juara di Allianz Arena pada Khamis.

Kane, yang mengetuai barisan serangan dengan disiplin tinggi dan ketenangan berwibawa, meledak gol ke-20 musim ini hanya dalam 12 perlawanan, satu pencapaian luar biasa yang tidak pernah dicapai Lionel Messi mahupun Cristiano Ronaldo dalam tempoh sama.

Penyerang berusia 32 tahun itu meletakkan namanya dalam senarai penjaring pada minit ke-14 apabila mudah menolak masuk hantaran lintang Konrad Laimer, hasil gerakan pantas berasaskan penguasaan bola yang menjadi tunjang sistem Kompany.

Namun sorakan paling bergema di Allianz Arena tercetus sembilan minit lebih awal apabila remaja berusia 17 tahun 242 hari, Lennart Karl, melakar sejarah peribadi selaku penjaring termuda Bayern dalam saingan elit Eropah itu, memadamkan rekod milik Jamal Musiala.

Karl menunjukkan kematangan luar biasa apabila memperdaya dua pertahanan Brugge sebelum melepaskan rembatan kaki kiri yang menerjah penjuru atas gawang, detik yang menjelmakan keberanian DNA muda yang sedang dibina Kompany dalam skuadnya.

Luis Diaz, bekas bintang Liverpool yang semakin serasi dengan sistem ‘intelligent pressing’ Kompany, menambah derita pelawat menerusi sepakan kencang pada minit ke-34 yang terkena palang sebelum menerjah jaring gol ketujuhnya sejak berhijrah ke Munich.

Kane hampir menambah koleksi golnya sebelum rehat apabila rembatan dari sudut sempit singgah di tiang, manakala dua percubaannya pada babak kedua dinafikan oleh penjaga gol Nordin Jackers dan pertahanan Jorne Spileers.

Penyerang gantian, Nicolas Jackson, menutup malam penuh gaya itu dengan jaringan keempat hasil sentuhan jarak dekat selepas Diaz terlebih dahulu dinafikan gol di atas garisan.

Kemenangan ketiga berturut-turut itu mengekalkan rekod 100 peratus Bayern dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini, sekali gus mengukuhkan reputasi Kompany sebagai pengurus muda dengan idea segar dan visi moden.

“Dia beraksi cemerlang perlawanan ini dan pasti akan mendapat banyak perhatian tetapi saya bukan peminat kepada hype (sensasi).

“Saya lebih gemar menilai prestasi, pembelajaran dan ketenangan. Kini semua mata tertumpu kepadanya, namun dia memerlukan ketenangan serta masa untuk terus berkembang.

“Hari ini dia sudah membuktikan bahawa dia mampu membantu pasukan serta-merta,” kata Kompany mengenai Karl.

Bayern kini berada di tangga kedua kumpulan di belakang Paris Saint-Germain (PSG) dengan sembilan mata hanya dipisahkan jumlah jaringan dan bakal berkunjung ke Paris pada 4 November depan, manakala Club Brugge akan menentang Barcelona sehari kemudian.

Ringkasan AI

  • Ketajaman Harry Kane di depan gawang membantu Bayern Munich memenangi perlawanan Liga Juara-Juara menentang Club Brugge 4-0
  • Kane mencetak gol ke-20 musim ini dalam 12 perlawanan, prestasi belum dicapai Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo dalam tempoh sama
  • Remaja Lennart Karl menjadi penjaring termuda Bayern dalam saingan Liga Juara-Juara pada usia 17 tahun 242 hari
  • Luis Diaz, bekas bintang Liverpool, mencetak gol ketujuhnya sejak berpindah ke Munich
  • Kemenangan ini merupakan yang ketiga berturut-turut bagi Bayern, mengekalkan rekod 100 peratus dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini



Source link

OR

Scroll to Top