JAIP sahkan Kamal, Uqasha bernikah pada 9.30 malam 4 November 2021

JAIP sahkan Kamal, Uqasha bernikah pada 9.30 malam 4 November 2021


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengesahkan status pernikahan pasangan selebriti, Ahmad Kamal Ahmad Adli atau Kamal Adli, 39, dan Nik Zaris Uqasha Nik Sen (Uqasha Senrose), 33, adalah mengikut syarak.

JAIP memaklumkan berdasarkan Rekod Pendaftaran Nikah Negeri Pahang, Kamal dan Uqasha dinikahkan pada 4 November 2021, iaitu pada jam 9.30 malam di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong.

“Majlis akad nikah dijalankan dengan persetujuan dan kehadiran wali mujbir pengantin perempuan, iaitu bapa kandungnya, Nik Sen Mat Ripin.

“Bapa pengantin perempuan mewakilkan (wakalah wali) kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Kawasan Bentong 1 untuk menjalankan akad nikah itu,” katanya dalam kenyataan kepada BH Online di sini, hari ini.

JAIP turut menjelaskan majlis pernikahan Kamal dan Uqasha dikendalikan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak COVID-19 yang berkuat kuasa ketika itu.

“Jabatan ini memperakukan bahawa akad nikah yang berlangsung memenuhi semua rukun nikah dan sah dari sudut hukum Syarak,” katanya.

Pengesahan JAIP meredakan spekulasi status perkahwinan Kamal dan Uqasha yang dikini berdepan kemelut rumah tangga.

Semalam, melalui hantaran Instagram (IG), Uqasha mendakwa dirinya diperbodohkan Kamal dan keluarga melalui apa yang dikatakan tindak memanipulasi tarikh pernikahan mereka.

Uqasha mendakwa dia dinikahkan pada 5 November 2021 jam 9 pagi. Namun, tambah Uqasha, tarikh pernikahan tertera pada sijil pernikahan adalah pada 4 November 2021 jam 9.30 malam.

Bagaimanapun, semakan mendapati Uqasha sudah memadamkan hantaran berkenaan.

Semalam, prosiding sebutan pertama kes perceraian Kamal dan Uqasha di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, dilapor ditangguhkan kepada 28 Oktober ini.

Penangguhan itu dibuat selepas Kamal tidak hadir ke mahkamah kerana terikat dengan jadual penggambaran, meskipun dimaklumkan mengenai prosiding berkenaan lebih awal.

Peguam syarie yang mewakili Uqasha, Nurfarhana Abd Manaf, berkata anak guamnya hadir seawal jam 9 pagi, namun, prosiding tidak dapat diteruskan susulan ketidakhadiran defendan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top