Empat Suara & Jiwa Menyatu! Ziana, Anuar, Ernie & Syamel Berjaya Cipta Momen Indah Bersama 4500 Peminat

Empat Suara & Jiwa Menyatu! Ziana, Anuar, Ernie & Syamel Berjaya Cipta Momen Indah Bersama 4500 Peminat


Empat suara, satu pentas dan satu malam penuh magis. Itulah yang dapat digambarkan tentang Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 yang berlangsung di Mega Star Arena, Plaza Sungai Wang, Sabtu lalu, menyaksikan kehebatan empat penyanyi Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel bersatu menghiburkan lebih 4,500 penonton yang membanjiri dewan.

Konsert berdurasi hampir tiga jam itu menjadi saksi bagaimana empat generasi muzik ini berpadu tenaga dalam persembahan bertenaga, sarat emosi dan penuh keikhlasan terhadap seni.

Dari detik pertama lampu pentas menyala hingga ke nota terakhir, setiap saat dirasai bukan sekadar hiburan, tetapi juga perayaan terhadap persaudaraan dan perjalanan muzik mereka.

Ernie membuka tirai dengan vokal lantang menerusi ‘Ku Bersuara’, diikuti Syamel yang memanaskan suasana dengan ‘Lebih Sempurna’.

Tidak ketinggalan, Ziana tampil anggun dan memukau dengan ‘Madah Berhelah’, sebelum segmen pembukaan disempurnakan oleh Anuar dengan ‘Keabadian Cinta’ yang membuat seluruh dewan bergema dengan sorakan.

“Ini manifestasi saya sejak kecil untuk berada di pentas bersama legenda-legenda ini. Ia satu perjalanan yang luar biasa untuk karier saya,” kata Ernie.

Ziana pula tidak dapat menahan rasa syukur apabila konsert yang sudah lama dirancang akhirnya menjadi kenyataan meskipun berdepan pelbagai dugaan peribadi.

“Saya sangat berbesar hati. Ini impian yang jadi kenyataan walaupun pelbagai rintangan datang. Allah beri kekuatan untuk terus hidup dan menjayakan konsert ini,” luahnya sebak.

Sebanyak 21 lagu termasuk segmen medley dipersembahkan sepanjang malam, dengan susunan muzik segar yang menyulam nostalgia dan kehangatan.

Vokal mantap keempat-empat penyanyi ini membuktikan keunggulan masing-masing, namun tetap berpadu indah apabila bergabung dalam lagu duet seperti Takkan Terlerai, antara detik paling menyentuh hati malam itu.

Dari segi produksi, konsert terbitan Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse itu tampil gah dengan sentuhan pengarah konsert terkenal Jennifer Thompson, manakala Lee Sze Wan bertindak sebagai pengarah muzik yang berjaya mengekalkan keseimbangan antara tradisi dan moden.

Antara rakan artis yang turut hadir memberi sokongan termasuk Edry Abdul Halim, Datuk Hattan, Noryn Aziz, Salamiah Hassan, Misha Omar, Shila Amzah, Ubaidillah,  membuktikan konsert ini bukan sekadar acara hiburan, tetapi satu malam yang diraikan dan paling dinantikan oleh seluruh anak seni.

Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bukan sekadar mempertemukan empat figura berbeza generasi, tetapi juga menyatukan jiwa dan semangat mereka dalam satu persembahan yang penuh cinta terhadap muzik.



Source link

OR

Scroll to Top