Selangor FC terus kemarau kemenangan dalam kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2025/26 selepas tewas 0-2 kepada wakil Indonesia, Persib Bandung, di Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Jawa Barat. Foto Facebook Selangor FC
SELANGOR FC terus kemarau kemenangan dalam kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2025/26 selepas tewas 0-2 kepada wakil Indonesia, Persib Bandung, di Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Jawa Barat, hari ini.
Kekalahan itu menyaksikan Gergasi Merah masih gagal mengutip sebarang mata selepas tiga perlawanan Kumpulan G, selain turut tewas 2-4 kepada Bangkok United dan wakil kelab Singapura Lion City Sailors sebelum ini.
Dalam aksi kali ini, skuad kendalian Christophe Gamel bermula agak berhati-hati apabila diasak tuan rumah yang memperoleh beberapa peluang awal ke gawang lawan, namun percubaan mereka tidak berjaya menewaskan benteng Selangor.
Bagaimanapun, kubu Selangor akhirnya bocor pada minit ke-29 apabila Adam Alis menyempurnakan hantaran Marc Klok untuk meletakkan Persib di depan.
Selangor hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-41 menerusi rembatan Chrigor Moraes, namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gol Persib, Teja Paku Alam.
Bersambung babak kedua, Selangor hampir memecah kebuntuan pada minit ke-51 apabila sepakan deras Alvin Fortes sekadar menggegarkan palang gol lawan.
Usaha Selangor untuk bangkit bagaimanapun terhenti apabila pertahanan muda Harith Haiqal Adam Afkar melakukan kekasaran kepada pemain lawan dalam kotak penalti, sekali gus menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.
Andrew Jung tidak mensia-siakan peluang apabila tenang menyempurnakan sepakan itu pada minit ke-66 untuk memastikan kemenangan mutlak 2-0 buat Persib.
Selangor berusaha keras memburu gol sagu hati di penghujung perlawanan, namun gagal menemui penyudah yang diharapkan sehingga wisel penamat dibunyikan.
Kedua-dua pasukan itu akan bertembung sekali lagi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 6 Nov ini bagi aksi keempat kumpulan.
Keputusan itu menyaksikan Selangor kekal di tangga tercorot tanpa sebarang mata selepas tiga perlawanan. – Bernama
Ringkasan AI
- SELANGOR FC kalah 0-2 kepada Persib Bandung dalam kempen Liga Juara-Juara Asia 2
- Gergasi Merah gagal mengutip mata selepas tiga perlawanan Kumpulan G
- Adam Alis dari Persib menjaringkan gol pada minit ke-29
- Andrew Jung memastikan kemenangan Persib dengan sepakan penalti pada minit ke-66
- Selangor kekal tanpa sebarang mata selepas tiga perlawanan