Pertikai bantuan? Mahfuz cadang MP PAS guna RM100 SARA bantu ahli & guru Pasti

Pertikai bantuan? Mahfuz cadang MP PAS guna RM100 SARA bantu ahli & guru Pasti


Amanah hari ini menyarankan agar pemimpin PAS yang mempertikaikan bantuan sekali beri (one-off) kerajaan bernilai RM100 dimanfaatkan untuk kebajikan ahli parti berkenaan.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, ada pemimpin PAS yang keliru dan tersilap memahami apabila menganggap bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebagai meniru amalan ideologi komunis.

“Hakikatnya, pemimpin terbabit menampakkan dirinya mempunyai masalah serius kerana gagal memahami sesuatu dasar namun mahu kelihatan pandai dalam bidang ideologi,” katanya menerusi sebuah hantaran di Facebook, hari ini.

Mahfuz cadang MP PAS guna RM100 SARA

Mahfuz yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang menjelaskan, inisiatif SARA terdiri daripada dua jenis bantuan.

Pertama, katanya, bantuan tetap secara bulanan khusus untuk keluarga B40 dan asnaf bagi meringankan beban kehidupan seharian, manakala bantuan kedua ialah pemberian SARA sekali beri untuk semua rakyat berusia sekurang-kurangnya 18 tahun tanpa mengira kedudukan ekonomi.

Bagaimanapun, katanya, bantuan itu tidak boleh dianggap sebagai amalan “sama rata” seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Sebaliknya, inisiatif ini dipersiapkan sebagai penyuntik ekonomi jangka pendek bagi menggerakkan semula perbelanjaan domestik selepas tekanan inflasi dan harga makanan,” jelasnya.

Menurut beliau, pemberian one-off bukan perkara asing, malah diamalkan banyak negara maju termasuk Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura sebagai langkah merangsang ekonomi.

“Dalam ekonomi moden, bantuan one-off diberikan pelbagai negara maju termasuk AS, Jepun dan Singapura sebagai stimulus.
“Hanya di Malaysia nampaknya masih ada ahli parlimen yang apabila nampak kerajaan bantu rakyat, terus jerit ‘komunis!’
“Kalau memberi kepada orang miskin dikata komunis, dan memberi kepada semua pun dikata komunis, agaknya apa yang bukan komunis bagi YB tersebut?
“Mungkin (bukan amalan komunis) hanya apabila duit bantuan tu datang dari tangan mak cik sendiri, baru jadi Islamik,” sinisnya.

Mahfuz berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor, yang mendakwa bantuan RM100 itu menyerupai amalan ideologi komunis dalam satu majlis anjuran PAS baru-baru ini.

“Kita kena ingat, sistem ini sistem mana? Bukan sistem keadilan. Sistem ini adalah sistem komunis. Sedar tak sedar negara kita melaksanakan sistem komunis.
“Kenapa saya sebut begitu? Kerana sistem ini memberikan hak sama rata kepada yang perlu dan yang tak perlu,” kata Salamiah dalam video tular itu.

Mahfuz turut menyindir dengan menyarankan agar Salamiah memanfaatkan bantuan tersebut untuk kebajikan ahli PAS sendiri.

“Yang pasti mak cik dan keluarga kena tebus (RM100) tapi barang (yang dibeli dengan duit tersebut) jangan bawa balik rumah, sebaliknya sedekahlah kepada ahli PAS di Temerloh atau guru-guru Pasti Temerloh,” katanya.

Artikel lain: Galak pemakanan sihat, KKM cadang buah & sayur masuk dalam SARA

Tegasnya, bantuan SARA bukan dasar sama rata seperti ideologi komunis, sebaliknya langkah keadilan sosial yang bersasar dan berhikmah.

Untuk rekod, SARA merupakan bantuan tunai dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi pembelian 14 kategori barangan asas di lebih 7,300 kedai serta pasar raya terpilih seluruh negara.

Sekiranya bantuan itu tidak ditebus hingga akhir tahun ini, nilai berkenaan akan dikembalikan semula kepada kerajaan.

Sumber: FB Mahfuz Omar





Source link

OR

Scroll to Top