Wei Chong (kiri) dan Kai Wun akan menentang pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae pada saingan suku akhir Terbuka Perancis 2025.
BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun bakal berdepan cabaran getir menentang pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae pada saingan suku akhir Terbuka Perancis 2025, selepas bangkit mencatat kemenangan penuh semangat pada pusingan kedua awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Pilihan ketujuh kejohanan itu mempamerkan semangat juang tinggi untuk menewaskan wakil England, Ben Lane-Sean Vendy 13-21, 21-19, 21-14 di Arena Glaz, Rennes.
Bagaimanapun, Wei Chong-Kai Wun perlu menggandakan usaha mereka memandangkan masih belum menewaskan pasangan Korea itu dalam tiga pertemuan sebelum ini.
Dalam satu lagi aksi beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menewaskan pasangan Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan 18-21, 23-21, 21-14 untuk mara ke suku akhir dan bakal berdepan gandingan berpengalaman Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Sementara itu, beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melangkah ke suku akhir selepas mencatat kemenangan meyakinkan 21-10, 24-22 ke atas rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan akan bertemu pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani selepas ini.
Pasangan muda negara, Arif Junaidi-Yap Roy King meneruskan rentak cemerlang skuad badminton negara apabila menewaskan gandingan China, Xie Haonan-Zeng Wei Han 21-12, 21-17 untuk mara ke suku akhir. Mereka bakal berdepan pilihan kelapan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri.
Dalam acara beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah mengekalkan momentum kemenangan selepas menumpaskan pasangan China, Bao Li Jing-Zhang Shu Xian 22-20, 21-15.
Gandingan negara itu seterusnya akan berdepan pasangan handalan China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, yang mendahului rekod pertemuan mereka 8-1. – Bernama
Ringkasan AI
- Beregu lelaki negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun, bakal berdepan cabaran getir menentang pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan pada suku akhir Terbuka Perancis 2025
- Mereka mencatat kemenangan menentang wakil England di pusingan kedua dengan semangat juang tinggi
- Wei Chong-Kai Wun belum menewaskan pasangan Korea dalam tiga pertemuan sebelum ini
- Pasangan muda negara, Arif Junaidi-Yap Roy King, mara ke suku akhir setelah menewaskan gandingan China
- Pearly Tan-M Thinaah mengekalkan momentum kemenangan dan akan berdepan pasangan handalan China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, yang mendahului rekod pertemuan mereka 8-1





