“Ia berbeza untuk setiap ibu dan boleh muncul dalam pelbagai cara”.
Demikian pandangan jujur pelakon dan pengacara popular, Che Puan Sarimah Ibrahim mengenai isu kemurungan selepas bersalin (postpartum depression), yang menurutnya sering disalah erti oleh masyarakat.
Katanya, bercakap berdasarkan pengalaman sendiri sebagai ibu, pendidikan dalam bidang kesihatan mental serta penglibatan dalam advokasi, dia menyedari tidak ada sesiapa yang benar-benar boleh menilai bagaimana rupa kemurungan selepas bersalin, kerana setiap individu mengalaminya dengan cara berbeza.
“Tiada siapa boleh menilai atau menyatakan dengan tepat bagaimana rupa kemurungan selepas bersalin.
“Ia berbeza untuk setiap ibu dan boleh muncul dalam pelbagai bentuk, sama ada hiperaktif, menangis tanpa henti, bekerja berlebihan, keresahan, kebas, paranoia, atau sering bertengkar kerana pemikiran ketakutan yang berterusan,” katanya menerusi perkongsian di Threads.
Mengulas lanjut, ibu anak satu itu menjelaskan, kemurungan selepas bersalin bukan sekadar masalah emosi, tetapi satu keadaan yang boleh merosakkan hubungan, rumah tangga, malah diri sendiri jika tidak mendapat rawatan segera.
“Ia boleh merosakkan banyak hubungan kecuali ibu itu sendiri sedar dan mendapatkan bantuan profesional,” jelasnya.
Justeru, Sarimah menyeru agar masyarakat lebih peka dan berhenti memberikan kata-kata jelik terhadap golongan ini sebaliknya, memberikan sokongan moral dan ruang untuk mereka mendapatkan rawatan sewajarnya.







