‘Kalau salahkan saya buat anda tenang, saya terima dengan hati terbuka’ – TMJ

‘Kalau salahkan saya buat anda tenang, saya terima dengan hati terbuka’ – TMJ


PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail tidak kisah sekiranya peminat bola sepak negara mahu menyalahkan baginda berhubung isu hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Tunku Mahkota Ismail berkata, baginda akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu yang berlaku ketika ini.

“Segala yang berlaku dalam bola sepak Malaysia, saya bertanggungjawab. Saya tidak pernah lari atau menuding jari kepada mana-mana pihak.

“Saya tidak sempurna, tetapi niat saya ikhlas. Kalau ada yang tidak setuju, saya sedia berbincang. Apa yang penting ialah bola sepak kita maju.

“Jika ia membantu anda tidur lena untuk mempersalahkan saya dalam isu ini, saya terima dengan hati terbuka,” titah baginda dalam sidang akhbar pada Sabtu.

Baginda menjelaskan bahawa setiap keputusan dan tindakan yang dilakukan sepanjang penglibatan dalam bola sepak adalah hasil pertimbangan yang teliti serta dibuat atas dasar mahu melihat skuad kebangsaan terus maju ke hadapan.

Menurut baginda, baginda tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam isu bola sepak negara, sebaliknya segala tindakan yang diambil hanya bertujuan membantu meningkatkan prestasi skuad Harimau Malaya.

“Saya hanya mahu membantu pasukan negara. Kalau saya hendak ambil kesempatan, saya tidak perlu bersusah payah datang ke setiap perlawanan, berhabis masa dan tenaga,” katanya.

Menurut Tunku Mahkota Ismail lagi, baginda akan terus berusaha mencari penyelesaian dan memohon semua pihak dalam FAM serta Pengurusan Pasukan Kebangsaan untuk bersatu bagi menghadapi situasi ini.

Terdahulu, FAM serta tujuh pemain warisan terbabit dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Pemain yang terlibat ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.

FAM turut dikenakan denda kira-kira RM1.8 juta, manakala setiap pemain didenda RM10,560 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Badan induk bola sepak negara itu sebelum ini mengakui berlaku kesilapan teknikal oleh kakitangan dalam proses penyerahan dokumen dan menegaskan bahawa perkara tersebut dipandang serius. FAM telah mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA dan keputusan dijangka diumumkan pada 30 Oktober ini.

Ringkasan AI

  • Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, tidak kisah jika dipersalahkan dalam isu hukuman oleh FIFA
  • Baginda bertanggungjawab sepenuhnya atas segala yang berlaku dalam bola sepak Malaysia
  • Tindakan dan keputusan yang dibuat adalah untuk kemajuan skuad kebangsaan tanpa kepentingan peribadi
  • Tunku Mahkota Ismail berusaha mencari penyelesaian dan mengajak semua pihak bersatu
  • FAM dan tujuh pemain dikenakan tindakan oleh FIFA kerana pemalsuan dokumen, denda kira-kira RM1.8 juta dan pemain didenda RM10,560 serta digantung 12 bulan



Source link

OR

Scroll to Top