Lindungi anak, selamatkan ummah

Lindungi anak, selamatkan ummah


MALAYSIA kini berdepan dengan satu krisis sosial dan moral yang semakin serius apabila berlaku peningkatan kes penderaan serta serangan seksual kanak-kanak dan remaja.

Dahulu ia dianggap kes terpencil tetapi kini semakin kerap menghiasi tajuk utama media dan laporan polis.

Lebih membimbangkan, pelaku bukan lagi daripada kalangan dewasa, tetapi juga rakan sebaya, bahkan pelajar sekolah sendiri.

Fenomena itu mencerminkan kegagalan sistem sosial dan pendidikan yang sepatutnya menjadi benteng melindungi generasi muda daripada bahaya sedemikian.

Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan peningkatan hampir 21 peratus dalam kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak pada 2023 berbanding tahun sebelumnya.

Menurut data Polis Diraja Malaysia, sebanyak 5,401 kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dilaporkan sepanjang tahun itu. Lebih mengejutkan, dalam tempoh Januari hingga April 2024 sahaja, sebanyak 2,059 kes direkodkan.

ANAK-ANAK yang tidak dibimbing dengan nilai akan mudah terpengaruh dengan budaya hedonistik digital yang menormalisasikan seks dan kekerasan sebagai gurauan atau hiburan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Hakikatnya, angka itu hanyalah sebahagian kecil daripada realiti kerana ramai mangsa memilih untuk berdiam diri akibat rasa takut, malu, tekanan emosi dan stigma masyarakat yang sering menyalahkan mereka.

Luka emosi

Penderaan seksual bukan sekadar mencederakan tubuh tetapi membunuh jiwa dan masa depan mangsa. Mereka hidup dalam trauma, hilang keyakinan diri, gagal menyesuaikan diri di sekolah, malah membesar dengan luka emosi yang mendalam.

Lebih menyedihkan, sebahagian kes berlaku di tempat yang sepatutnya paling selamat seperti di rumah, sekolah atau institusi keagamaan. Apabila tempat mendidik berubah menjadi lokasi penderitaan, jelaslah nilai kemanusiaan kita sedang tenat.

Fenomena baharu yang turut membimbangkan adalah penglibatan kanak-kanak dan remaja sebagai pelaku jenayah seksual.

Kajian psikososial mendapati ramai antara mereka sebenarnya pernah menjadi mangsa atau terdedah kepada bahan lucah sejak kecil.

Tanpa kawalan ibu bapa dan pendidikan agama yang kukuh, mereka meniru tingkah laku yang diserap daripada media sosial serta hiburan digital yang menormalisasi seks dan kekerasan.

IBU bapa perlu memainkan peranan dalam mendidik anak-anak dan tidak hanya menyerahkan tanggungjawab pendidikan moral sepenuhnya kepada sekolah, sedangkan pembentukan akhlak bermula dari rumah. -Foto: CANVA

IBU bapa perlu memainkan peranan dalam mendidik anak-anak dan tidak hanya menyerahkan tanggungjawab pendidikan moral sepenuhnya kepada sekolah, sedangkan pembentukan akhlak bermula dari rumah. -Foto: CANVA

Dalam banyak kes, mangsa dan pelaku sama-sama masih kanak-kanak. Garis antara ‘tidak tahu’ dan ‘tidak peduli’ semakin kabur apabila masyarakat gagal mendidik tentang konsep persetujuan, rasa hormat serta tanggungjawab terhadap diri.

Pendidikan nilai, bukan sekadar hukuman

Setiap kali insiden berlaku, persoalan yang sama timbul. Di manakah silapnya?

Hakikatnya, punca masalah itu berlapis.

1. Masih wujud jurang besar dalam pendidikan moral dan seksual berasaskan nilai. Banyak sekolah menganggap topik seperti eksploitasi seksual, keselamatan digital dan persetujuan (consent) sebagai tabu, lalu enggan membincangkannya secara terbuka.

2. Pengawasan terhadap pelajar di alam maya terlalu longgar. Mereka hidup dalam dunia terbuka tanpa sempadan masa, tetapi tidak dibekalkan kefahaman nilai yang mencukupi.

3. Ramai ibu bapa menyerahkan tanggungjawab pendidikan moral sepenuhnya kepada sekolah, sedangkan pembentukan akhlak bermula dari rumah.

Ibu bapa perlu menjadi benteng pertama mempertahankan keselamatan anak-anak, di samping memantau aktiviti dalam talian, mengenali rakan mereka dan membina komunikasi terbuka tentang keselamatan diri serta sentuhan selamat. -Foto: CANVA

Ibu bapa perlu menjadi benteng pertama mempertahankan keselamatan anak-anak, di samping memantau aktiviti dalam talian, mengenali rakan mereka dan membina komunikasi terbuka tentang keselamatan diri serta sentuhan selamat. -Foto: CANVA

Anak-anak yang tidak dibimbing dengan nilai akan mudah terpengaruh dengan budaya hedonistik digital yang menormalisasikan seks dan kekerasan sebagai gurauan atau hiburan.

Seperkara lagi, mangsa penderaan seksual bukan sahaja menderita trauma tetapi juga tekanan mental yang boleh membawa kepada kemurungan, gangguan pascatrauma (PTSD) dan kecenderungan mencederakan diri.

Lebih parah, mereka hilang kepercayaan terhadap orang dewasa dan institusi, lalu membesar dalam ketakutan. Ini bukan sekadar isu peribadi tetapi krisis sosial yang menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi pendidikan dan keagamaan.

Malaysia memiliki undang-undang kukuh seperti Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Akta Kanak-Kanak 2001. Namun, undang-undang tanpa penguat-kuasaan tegas hanyalah tulisan di atas kertas.

Pelaku mesti dihukum tanpa kompromi, manakala pelaku bawah umur perlu melalui pemulihan menyeluruh agar tidak mengulangi kesalahan.

Institusi yang gagal melindungi mangsa pula mesti dipertanggungjawabkan. Alasan ‘menjaga nama baik sekolah atau keluarga’ tidak lagi boleh diterima.

Pendidikan seksual berasaskan nilai mesti dilihat satu keperluan, bukan pilihan. Ia bukan mengajar tentang hubungan fizikal tetapi keselamatan diri, maruah, batas pergaulan dan tanggungjawab terhadap tubuh sendiri.

Firman ALLAH SWT: “Katakanlah kepada lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan mereka. Dan katakanlah kepada wanita yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan mereka.” (Surah an-Nur: 30-31)

DIDIKLAH anak masing-masing dengan pendidikan agama yang kukuh agar mereka tidak mudah terjebak dengan amalan yang bertentangan dengan agama Islam. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

DIDIKLAH anak masing-masing dengan pendidikan agama yang kukuh agar mereka tidak mudah terjebak dengan amalan yang bertentangan dengan agama Islam. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Ayat itu jelas menekankan kepentingan pendidikan adab dan kawalan diri sejak usia muda agar manusia tidak terjerumus dalam perilaku terlarang.

Ibu bapa perlu menjadi benteng pertama mempertahankan keselamatan anak-anak. Mereka harus memantau aktiviti dalam talian, mengenali rakan mereka dan membina komunikasi terbuka tentang keselamatan diri serta sentuhan selamat.

Masyarakat juga mesti meninggalkan budaya menutup aib hingga mengabaikan kebenaran. Diam bererti bersubahat dan setiap kes yang dibiarkan hanya membuka ruang kepada tragedi baharu.

Penderaan seksual terhadap kanak-kanak bukan sekadar isu undang-undang tetapi krisis nilai dan kemanusiaan. Apabila kekerasan dianggap gurauan dan tragedi dipandang ringan, maka kita sedang mewariskan dunia yang rosak kepada generasi seterusnya.

Membendung isu ini memerlukan keberanian iaitu untuk bercakap tentang perkara yang tidak selesa, mendidik dengan jujur dan bertindak dengan tegas.

Kegagalan berbuat demikian bukan hanya mengorbankan seorang anak tetapi masa depan seluruh bangsa.

*Artikel ditulis oleh Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Asasi, Management and Science University (MSU), Dr Muhammad Haziq Zaini



Source link

OR

Scroll to Top