Tel Aviv: Puluhan ribu rakyat Israel turun ke jalanan semalam, mendesak kerajaannya menyegerakan perjanjian gencatan senjata, manakala kesatuan buruh utama menggesa protes susulan kematian enam rakyatnya yang ditawan Gaza.
Demonstrasi anti kerajaan itu antara terbesar pernah berlaku di Israel sejak perang Israel-Hamas bermula hampir 11 bulan lalu, yang menyaksikan pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan.
Penunjuk perasaan melaungkan “Sekarang! Sekarang!” dan menuntut Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mencapai persetujuan gencatan senjata dengan Hamas untuk membawa pulang tawanan yang masih tinggal.
Penduduk membanjiri luar pejabat Netanyahu di Baitulmaqdis Barat dan menyekat laluan di Tel Aviv.
Forum Tebusan dan Keluarga Hilang yang mewakili keluarga tawanan dalam kenyataan memaklumkan, kematian enam tebusan itu berpunca daripada kegagalan Netanyahu mencapai perjanjian untuk menghentikan pertempuran dan membawa insan tersayang mereka pulang.
“Mereka semua dibunuh dalam beberapa hari lalu, selepas terselamat hampir 11 bulan daripada penderaan, penyeksaan dan kebuluran dalam kurungan Hamas,” kata forum itu.
Gil Dickmann, sepupu kepada seorang tebusan yang maut, Carmel Gat menyeru rakyat Israel untuk memberi lebih tekanan kepada kerajaan.
“Turun ke jalan raya dan tutup negara ini sehingga semua orang kembali. Mereka masih boleh diselamatkan,” tulis Dickmann di X.
Sementara itu, kolumnis akhbar Haaretz Israel, Gideon Levy memberitahu A-Jazeera bahawa Netanyahu mempertahankan parti sayap kanan dalam kerajaannya yang menentang sebarang konsesi dengan Hamas.
“Mereka tidak peduli langsung dengan tebusan,” katanya.
Levy menegaskan bahawa dalam Parti Likud iaitu kumpulan terbesar dalam kerajaan, Netanyahu berkuasa dan mendapat sokongan parti itu.
“Oleh itu untuk mencabar dari dalam kerajaan sangat terhad. Cabaran sebenar mungkin hanya di jalanan, tetapi masih terlalu awal untuk menilai,” katanya.
Sementara itu, kesatuan sekerja terbesar, Histadrut mengajak rakyat untuk mogok sebagai desakan terhadap kerajaan agar menandatangani perjanjian gencatan senjata.
Menurut kesatuan itu, Lapangan Terbang Ben Gurion yang juga hub pengangkutan udara utama akan ditutup bermula 8 pagi (05:00 GMT) hari ini, bertujuan mengganggu sektor ekonomi utama Israel termasuk perbankan dan kesihatan.
“Perjanjian (gencatan senjata) lebih utama daripada perkara yang lain. (Ketika ini) kami hanya mendapat beg mayat berbanding perjanjian,” kata Ketua Histadrut, Arnon Bar-David yang turut memaklumkan pihaknya disokong pengeluar dan usahawan sektor teknologi tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd