Personaliti televisyen, Saiful Nizam Ismail menyifatkan peluang mengacarakan tiga majlis utama perkahwinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama pasangan, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz di Istana Alam Shah, Klang sebagai satu penghormatan yang luar biasa.
Menurut bekas penyampai berita TV3 ini, dia tidak menyangka akan menerima panggilan rasmi daripada pihak Istana Selangor untuk mengendalikan majlis penuh adat dan protokol diraja itu.
“Apabila dihubungi pihak istana, saya menganggapnya sebagai cabaran besar dalam kerjaya. Walaupun sudah banyak kali mengacarakan majlis rasmi dan perkahwinan termasuk melibatkan kerabat diraja, tugasan kali ini benar-benar berbeza kerana ia melibatkan Raja Muda Selangor sendiri.
“Saya rasa bersyukur dan bertuah kerana dapat menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini. Bagi saya, ini bukan sekadar tugas, tetapi amanah yang perlu dijaga sebaiknya kerana ia melibatkan istiadat diraja yang penuh adat dan nilai tradisi,” katanya.

Walaupun berpengalaman lebih dua dekad dalam dunia penyiaran dan pengacaraan, Saiful mengakui tetap berdebar serta berhati-hati bagi memastikan setiap tutur katanya sesuai dan sopan sepanjang majlis berlangsung.
Namun, Saiful menyifatkan tunjuk ajar daripada pegawai protokol istana serta kerjasama daripada rakan pengacara, bekas penyampai berita RTM Hazleen Abd Aziz, banyak membantu melancarkan perjalanan acara tersebut.
“Saya melakukan banyak rujukan dan latihan terlebih dahulu bagi memastikan tiada kesilapan. Pengalaman mengacarakan majlis di istana sebelum ini juga banyak mengingatkan saya supaya sentiasa peka dengan setiap perincian,” ujarnya.
Tambahnya lagi, sejak bersara daripada dunia penyiaran, dia kini aktif sebagai pengacara bebas dan penasihat komunikasi korporat serta media di bawah syarikat miliknya sendiri.
“Saya anggap peluang ini sebagai rezeki dan penghormatan besar. Berdiri di hadapan Sultan Selangor, Tengku Permaisuri Selangor dan seluruh kerabat diraja merupakan momen yang akan kekal dalam ingatan saya selamanya.
“Ramai yang mengirim ucapan tahniah, dan saya amat bersyukur atas setiap peluang serta rezeki yang datang,” katanya.
Untuk makluman, Saiful bertindak sebagai pengacara bagi tiga majlis utama perkahwinan diraja itu, iaitu Istiadat Akad Nikah, Istiadat Persandingan dan Santapan Diraja.






