sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) memilih untuk tidak memberi tekanan tinggi kepada pemain kerana ia bakal memberi kesan langsung dari segi prestasi semasa Piala Dunia Boling Padang 2025 yang akan berlangsung di Arena Bowls Malaysia, Bukit Kiara, dari 4 hingga 8 November depan.
Presiden PLBM, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, pihak pengurusan melihat pendekatan itu penting bagi memastikan setiap pemain kekal fokus dan tidak terbeban dengan tekanan individu, sebaliknya menjadikannya satu misi kolektif yang dikongsi bersama.
“Saya rasa tekanan ini perlu dikongsi. Bila kita letakkan sasaran secara menyeluruh, semua pemain tahu tanggungjawab itu sebagai satu pasukan, bukan hanya tertumpu pada seorang pemain.
“Contohnya kalau kita letak tekanan kepada seseorang pemain yang beraksi individu dan juga akan beraksi dalam acara beregu. Kalau dia tak boleh persembahkan di individu, secara tidak langsung ia akan menjejaskan juga persembahan dengan pasangannya itu,” katanya.
Selain itu, Awalan turut menjelaskan bahawa pertandingan kali ini dilihat bakal berlangsung dengan lebih sengit kerana Malaysia menggunakan portable ring yang kelajuannya lebih tinggi berbanding padang biasa.
“Padang biasa di Bukit Kiara mempunyai kelajuan 14 saat, tetapi untuk kejohanan ini kita samakan dengan portable ring baharu yang mencecah 16 saat dan ia jauh lebih laju.
“Jadi kita tahu rata-rata pemain-pemain daripada terutama daripada United Kingdom, Scotland, England, Wales dan Ireland. Mereka sangat pakar dengan keadaan padang ini dan pertandingan dalam dewan.
“Kita tidak ada kemudahan karpet dalam dewan 100 peratus seperti yang digunakan di Kejohanan Dunia sebelum ini. Namun kali ini, dengan bantuan Kementerian Belia dan Sukan serta Perbadanan Sukan Malaysia, kita akhirnya berjaya menyediakan portable ring sepenuhnya di Stadium Juara,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berharap penganjuran kejohanan di tanah air akan memberi ruang kepada pemain negara memperbaiki kedudukan dalam ranking Siri Dunia Boling Padang.
“Kita harap pemain negara dapat menggunakan peluang ini beraksi cemerlang dan meningkatkan ranking mereka ke kedudukan lebih baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






