TMJ jelaskan peranan dalam projek Harimau Malaya

TMJ jelaskan peranan dalam projek Harimau Malaya


Tunku Mahkota Ismail pada Sidang Media Pasukan Kebangsaan di sebuah hotel di Subang Jaya. Foto Bernama

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menjelaskan peranan baginda dalam membantu memperkukuh projek pasukan kebangsaan, Harimau Malaya walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau Pengurusan Pasukan Kebangsaan.

Baginda bertitah, penglibatan itu bermula beberapa bulan lalu apabila FAM meminta sokongan baginda dalam Projek Pasukan Kebangsaan.

“Saya bersetuju untuk membantu dalam apa jua bentuk sama ada dari segi infrastruktur, jaringan hubungan, bajet dan sebagainya.

“Pasukan kebangsaan sangat dekat di hati. Bagi saya, semua pihak yang terlibat dalam bola sepak tanah air perlu memainkan peranan masing-masing bagi membantu pasukan kebangsaan dalam semua aspek seperti pembangunan bola sepak, liga yang lebih kompetitif, pemain berkualiti dan kemudahan sukan yang lebih baik,” titah baginda.

Menurut Tunku Ismail, bantuan yang diberikan termasuk meyakinkan kerajaan untuk menyalurkan bajet tambahan kepada FAM demi memperkukuh pengurusan skuad kebangsaan.

“Saya bantu meyakinkan kerajaan supaya memberi peruntukan kepada pasukan kebangsaan, termasuk peningkatan elaun pemain apabila mereka beraksi untuk negara.

“Kerajaan juga mempercayai FAM untuk menguruskan projek ini dan memberikan bantuan kewangan sewajarnya. Di situ bermulanya usaha kami dalam memperkukuh projek pasukan kebangsaan selepas menyedari kekurangan dana,” titah baginda.

Mengulas lanjut mengenai peranan dalam projek itu, Tunku Ismail menegaskan bahawa baginda tidak memerlukan sebarang jawatan formal untuk membantu FAM atau pasukan kebangsaan.

“Saya tidak fikir saya perlu apa-apa peranan rasmi. Saya memiliki fasiliti terbaik di negara ini.

“Jika FAM sebagai badan bola sepak kebangsaan memerlukan bantuan atau sokongan saya dalam apa jua bentuk, saya rasa menjadi tanggungjawab saya untuk membantu kerana saya juga sebahagian daripada industri bola sepak negara,” jelas baginda.

Ringkasan AI

  • PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bersedia membantu Harimau Malaya tanpa jawatan rasmi dalam FAM
  • Penglibatan baginda bermula bila FAM meminta sokongan dalam Projek Pasukan Kebangsaan
  • Baginda bersedia memberi bantuan melalui infrastruktur, jaringan hubungan, dan bajet
  • Tunku Ismail berjaya meyakinkan kerajaan untuk memberi bajet tambahan kepada FAM
  • Bantuan tersebut termasuk peningkatan elaun pemain dan memperkukuh pengurusan skuad kebangsaan



Source link

OR

Scroll to Top