Myanmar benarkan media asing buat liputan pilihan raya dikendalikan junta

Myanmar benarkan media asing buat liputan pilihan raya dikendalikan junta


YANGON: Pihak berkuasa pilihan raya Myanmar pada Rabu memaklumkan media antarabangsa akan dibenarkan membuat liputan pilihan raya yang akan dikendalikan oleh junta tentera, langkah yang dilihat sebagai jemputan kepada media luar untuk meneliti proses pengundian yang amat dipertikaikan itu.

Menurut Reporters Without Borders (RSF), junta Myanmar memusnahkan landskap media melalui penapisan dan ancaman sejak rampasan kuasa 2021 yang mencetuskan perang saudara.

Wartawan tempatan menjadi sasaran utama tindakan keras itu, manakala media asing beramai-ramai meninggalkan negara tersebut dengan AFP menjadi satu-satunya agensi berita antarabangsa yang mengekalkan biro penuh di Myanmar.

Junta mempromosikan pilihan raya yang akan bermula 28 Disember sebagai jalan menuju perdamaian, namun undian itu bakal diboikot di kawasan dikuasai pemberontak dan dianggap oleh pemerhati sebagai helah untuk mengekalkan pemerintahan tentera.

Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan (UEC) yang dikawal junta dalam satu kenyataan berkata, media tempatan dan antarabangsa akan dibenarkan membuat liputan pilihan raya yang akan dijalankan secara berperingkat dalam tempoh beberapa minggu.

Kementerian Penerangan yang dikendalikan junta akan menyemak dan meluluskan organisasi media antarabangsa yang layak, menurut notis yang disiarkan dalam akhbar rasmi The Global New Light of Myanmar.

Bagaimanapun, tidak jelas bagaimana proses itu akan dijalankan atau media mana yang akan diberi akses ke negara yang sekian lama terasing akibat rampasan kuasa tentera.

Ketika era pembukaan demokratik selama sedekad dahulu, landskap media Myanmar berkembang pesat dengan kemunculan banyak media tempatan baharu serta kehadiran wartawan asing.

Namun sejak tentera merampas kuasa semula, banyak organisasi media telah ditutup, berpindah ke kawasan pemberontak, atau beroperasi dari luar negara seperti Thailand.

Menurut Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ), Myanmar berada di tangga ketiga tertinggi di dunia dalam menahan wartawan pada tahun 2024.

Kumpulan hak asasi menegaskan pilihan raya itu tidak sah kerana tokoh demokrasi, Aung San Suu Kyi digulingkan dan dipenjarakan, manakala partinya yang popular, Liga Nasional bagi Demokrasi (NLD) telah dibubarkan.

Tindakan membantah pilihan raya juga boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun.

Sumber diplomatik memberitahu AFP, ASEAN tidak akan menghantar pemerhati ke pilihan raya tersebut, selepas kumpulan hak asasi mendesak blok serantau itu supaya tidak mengiktiraf proses yang didakwa tidak bebas dan tidak adil.-AFP





Source link

OR

Scroll to Top