KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Festival RIUH x ASEAN 2025 melabuhkan tirainya setelah berjaya menjadi hab rentas budaya terbesar di rantau ini, menghimpunkan seni, muzik, makanan serta komuniti kreatif serantau di bawah satu platform berimpak tinggi.
RIUH x ASEAN 2025 diadakan bersempena Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, yang telah menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 28 Oktober 2025, bertemakan “Inclusivity and Sustainability”.

Festival RIUH X ASEAN 2025 yang berlangsung dari 17 Oktober hingga 27 Oktober 2025 itu dianjurkan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur termasuk Stadium Merdeka, GMBB Creative Mall, Audience KL, dan Town House Terrace.
Antara segmen utama festival ialah FrequenSea: ASEAN Music Conference di GMBB pada 21 dan 22 Oktober, persidangan muzik ASEAN pertama di Malaysia serta RIUH x ASEAN Marketplace di Stadium Merdeka dari 24 hingga 27 Oktober yang menampilkan lebih 60 jenama runcit dan F&B dari Malaysia, Myanmar, Vietnam, Brunei dan Indonesia.
Dengan penampilan hebat artis dari dalam dan luar Malaysia, pentas RIUH x ASEAN Marketplace bersama QSR Brands di Stadium Merdeka telah berjaya menggamatkan suasana sepanjang hujung minggu lalu!



**Sumber Gambar Dari Facebook: Riuhinthecity
Workshop penuh dengan ilmu, kreativiti, dan suasana yang menyeronokkan. Peserta berpeluang menimba pengalaman baharu, mencipta karya unik, dan berinteraksi bersama tenaga penggiat kreatif dari pelbagai latar belakang.


**Sumber Gambar Dari Facebook: Riuhinthecity
RIUH x ASEAN Marketplace bersama QSR Brands berlangsung meriah dengan deretan vendor F&B dan retail yang penuh warna dan cita rasa. Stadium Merdeka dibanjiri pengunjung yang tak lepaskan peluang menikmati juadah hebat dan produk kreatif dari seluruh rantau ASEAN.


**Sumber Gambar Dari Facebook: Riuhinthecity
Antara vendor retail yang menjual pakaian, aksesori dan hasil kraf tempatan yang unik.


**Sumber Gambar Dari Facebook: Riuhinthecity
Marketplace yang dianjurkan bersama QSR Brands sebagai rakan penganjur rasmi dan Merdeka 118 sebagai penaja lokasi, berjaya menarik lebih 30,000 pengunjung sepanjang acara tersebut.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dalam majlis penutup Festival RIUH x ASEAN 2025 menyatakan penghargaan kepada semua pihak terlibat, termasuk artis, sukarelawan, usahawan, dan penaja seperti QSR Brands, serta pihak Stadium Merdeka selaku penganjur lokasi.

Dalam ucapannya, Fahmi turut memaklumkan bahawa kementerian sedang mengemukakan cadangan untuk menjadikan Hari Muzik Negara sebagai sambutan tahunan rasmi, bagi meraikan, menghargai dan memperkukuh industri muzik tempatan. Inisiatif ini dijangka memberi manfaat besar kepada penggiat muzik melalui peningkatan kutipan royalti dan pendedahan bakat baharu.

“Saya berharap agar RIUH x ASEAN tidak berakhir di sini, tetapi terus berkembang merentasi sempadan serantau, selari dengan semangat ‘Forging Ahead Together: Inclusivity & Sustainability,” ujar beliau.
Sejak diperkenalkan pada 2017, siri RIUH telah mencatat lebih sejuta pengunjung serta melibatkan lebih 10,000 penggiat industri kreatif, menjana nilai ekonomi melebihi RM10 juta. Edisi kali ini menandakan kejayaan besar Kembara RIUH, yang buat pertama kalinya menghimpunkan kesemua 10 tonggak utama MyCreative Ventures iaitu penciptaan kandungan, pendidikan kreatif, kulinari, rekaan, fesyen, sastera, muzik, seni persembahan, seni tradisional dan seni visual.





