Pelakon, Kamal Adli meluahkan rasa sebak dan terharu melihat sokongan netizen terhadap rumah tangganya bersama aktres, Uqasha Senrose.
Menerusi perkongsian di Instagram Story (IGs), Kamal mengucapkan terima kasih kepada netizen dipercayai susulan tindakan mereka yang membanjiri ruangan komen media sosial Uqasha menyatakan rasa kasih sayang aktor itu terhadap isterinya.
“Netizen… kau orang semua memang sweet. Kalau jumpa mana-mana kita selfie okay,” tulisnya.

Sebelum ini, Kamal memohon agar netizen tidak meninggalkan komen negatif terhadap Uqasha ketika ditemui media usai perbicaraan kes cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Selasa.
Ketika ditemui, Kamal mengakui dia masih menyayangi isterinya dan sedang berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga mereka daripada berakhir dengan penceraian.
Prosiding kes perceraian Kamal dan Uqasha ditangguhkan pada 19 November depan selepas peguam mewakili aktres itu telah menarik diri daripada mengendalikan kes tersebut.
Terdahulu, Uqasha telah memfailkan perceraian ke atas Kamal pada 1 Oktober 2025.
Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 18 bulan.
Artikel Berkaitan: Netizen Sepakat Banjiri Ruangan Komen Uqasha Senrose, ‘Bantu’ Kamal Adli Pujuk Isteri – “Dia Sayang Awak, Jangan Cerai…”





