Dettwiler stabil, Rueda boleh pulang esok

Dettwiler stabil, Rueda boleh pulang esok


Kuala Lumpur: Pelumba Moto3, Noah Dettwiler berada dalam keadaan stabil selepas menjalani beberapa pembedahan susulan insiden pelanggaran berkelajuan tinggi pada Grand Prix (GP) Malaysia, menurut pasukannya CIP Green Power, hari ini.

Ketika pusingan ‘sighting lap’ sebelum perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Jose Antonio Rueda melanggar bahagian belakang motosikal ditunggang Dettwiler, 20, menyebabkan pelumba pasukan CIP Green Power itu tercampak dan terhempas kuat di atas trek.

Kedua-dua pelumba menerima rawatan segera di tepi litar sebelum dibawa ke hospital menggunakan helikopter, dengan Dettwiler dilaporkan mengalami kecederaan pada limpa dan paru-paru.

“Menurut doktor, keadaan Noah kini stabil dan tidak lagi kritikal,” kata pasukan berkenaan dalam satu kenyataan.

“Dia akan terus dipantau rapi di unit rawatan rapi (ICU).”

Sementara itu, juara Moto3, Rueda yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-20, hari ini, mengalami keretakan di tangan serta lebam pada paru-paru.

Pasukannya, Red Bull KTM Ajo memaklumkan keadaan pelumba Sepanyol itu kini semakin pulih.

“Pada Isnin, pelumba Red Bull KTM Ajo itu dipindahkan ke sebuah hospital swasta untuk meneruskan rawatan serta pemantauan terhadap lebam pada paru-parunya, yang kini menunjukkan tanda pemulihan baik.

“Susulan perkembangan positif itu, doktor percaya dia boleh kembali ke Sepanyol esok bagi menjalani pembedahan pada tangan kanannya di Barcelona dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top